Sebelum ini, Motoqar pernah berkongsi artikel Nissan Skyline GT-R R34 V-Spec II Nur keluaran tahun 2002 yang bakal dilelong di Jepun dan terkini sesi lelongan sedan sport dua pintu berkenaan sudah bermula.
Walaupun berusia lebih dari 20 tahun Skyline berkenaan hanya mencatat perbatuan sejauh 10km dan tidak pernah didaftarkan. Pendek kata masih tiada pemilik. Jadi siapakah yang bakal menjadi pemilik pertama model rare berkenaan?.
Apapun anda perlu bersiap sedia dengan sejumlah wang yang besar kerana harga bidaan GT-R V-Spec II Nur tersebut bermula dari Yen 50,000,000 (RM1.8 juta). Tanda harga berkenaan menjadikannya model R34 paling mahal pernah dijual di muka bumi ini.
Sebanyak 718 unit GT-R R34 V-Spec II Nur dikeluarkan secara global yang mana 159 unit daripadanya ditawarkan dengan warna putih. Apa yang menarik mengenai Nissan R34 itu ia didatangkan dengan komponen berprestasi.
Jentera tersebut menggunakan enjin RB26DETT dari Nissan versi N1 dengan sentuhan kemasan warna emas eksklusif. Bahagian aci engkol diimbang semula dan komponen saluran air dan minyak dipertingkatkan begitu juga bahagian piston dan cincin piston.
Menyempurnakan kuasa jentera pihak Nissan memasang pengecas turbo baharu dan menaik taraf bahagian aci sesondol. Selain imej prestasi, nama ‘Nur’ di belakang juga melengkapkan aura jentera yang merujuk kepada Litar Nurburgring.
Bukannya nama awal gadis Melayu Nur Saloma mahupun Nurul Ezah. Salah satu model ikon JDM popular dalam kalangan peminat, GT-R V-Spec II Nur itu bakal menjadi pilihan kaki koleksi kenderaan yang akan dijual di Collection Car Auction itu.
BACA>>Nismo tayang video penuh proses restorasi Nissan Skyline GT-R R32
BACA>>Subaru WRX STi 2002 yang pernah cipta rekod dunia kini sedang dilelong!
GALERI
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar