Marahkan nyamuk kelambu dibakar. Pernahkah anda melihat seseorang bertindak agresif apabila dalam keadaan marah.
Tindakan sedemikian sering kali tular di laman sosial apabila ada antara mereka memecahkan cermin dan bahagian lain kereta mahupun mencapai apa saja yang berdekatan untuk dilempar.
Masih ingat lagi tentang kisah Kiki Peugeot tujuh tahun lalu?. Kejadian itu tidak begitu parah jika dibandingkan dengan situasi yang berlaku di China ini. Difahamkan sepasang suami isteri bertengkar ketika memandu sekitar parkir bawah tanah.
Tidak diketahui punca pertengkaran, si isteri yang marah menghentam bahagian sisi Ferrari GTC4Lusso sehingga menyebabkan kedudukan supercar berkenaan beralih separuh dari lot parkir.
Hentaman itu menyebabkan kereta buatan Itali berkenaan melanggar Porsche 918 Spyder di sebelahnya dan Mercedes-Benz E-Class. Sebelum rempuhan tersebut, wanita itu juga difahamkan melanggar beberapa buah kenderaan lain sehingga menyebabkan bahagian belakang BMW 3-Series miliknya rosak.
Rempuhan itu mengakibatkan bahagian pintu pemandu dan panel belakang Ferrari GTC4 remuk. Salah satu tayar supercar berkenaan juga mengalami kerosakan.
Manakala Porsche 918 Spyder yang tersepit di tengah memerlukan kos baik pulih lebih banyak apabila bahagian depannya terkena tiang parkir selain bahagian sisi yang bergesel dengan Ferrari dan Mercedes-Benz.
Kereta hypercar hibrid itu juga berkemungkinan memerlukan panel, lampu dan bampar depan baharu. Sementara, Mercedes-Benz E-Class yang diparkir bersebelahan Porsche mungkin mengalami beberapa kesan calar.
BMW 3 Series pasangan suami isteri berkenaan pula remuk di bahagian depan dan belakang. Menurut kami kos baik pulih tiga kenderaan mewah yang menjadi mangsa keadaan itu lebih tinggi dari harga kos baik pulih BMW mereka.
Kami tertanya bagaimana reaksi pemilik kenderaan mewah itu apabila kembali ke kereta mereka. Setelah menerima bil baik pulih dari mangsa mungkin wanita berkenaan menyesali tindakan secara tergesa-gesa tanpa berfikir akan kesan perbuatannya.
BACA>>Gara-gara Perodua Myvi belok tiba-tiba, rider penghantar makanan kemalangan
BACA>>Porsche 911 GT3 Touring – Kereta sports untuk yang tak suka menunjuk
GALERI
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar