Pelawak, Achey patah tangan kiri ketika mencari durian di sebuah dusun, semalam.
Achey atau nama sebenar Mohd Nasir Hamzah, berkata dia terjatuh dari motosikalnya dan disahkan patah tangan kiri selepas mendapat rawatan di sebuah pusat perubatan di Batu Pahat, Johor.
“Sebenarnya saya pergi ambil durian pagi tadi dan entah macam mana terjatuh motosikal dari tebing dan saya tahan pakai tangan.
“Masa nak bangun tu rasa tangan kiri sakit. Saya tengok tangan dah bengkok, eh… saya syak patah ni,” katanya.
Bercerita lanjut tentang perkara itu, Achey berkata, niatnya ke dusun untuk mencari durian bagi tujuan berniaga pada minggu depan. Bagaimanapun, ahli kumpulan Bochey ini berkata, kerja itu akan diambil alih oleh rakan kongsinya.
“Niat nak tengok durian sebab minggu depan nak berniaga dekat belah-belah Segamat. Keadaan dah jadi macam ni jadi member akan ambil alih teruskan kerja-kerja ni,” ujarnya.
Achey berharap keadaan kesihatannya akan kembali pulih secepat mungkin dan doktor memberitahu tangannya perlu dibedah.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar