Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan merekodkan kutipan lebih RM1.9 juta bagi nombor siri pendaftaran DED dalam tempoh lima hari bermula 9 hingga 13 Julai lalu.
Pengarahnya, Hanif Yusabra Yusuf berkata, kutipan itu melebihi sasaran sebelumnya iaitu RM1.7 juta.
“Jumlah itu menunjukkan kutipan melebihi sasaran bagi siri nombor tersebut menerusi pelaksanaan sistem bidaan nombor pendaftaran kenderaan secara dalam talian (JPJeBid) diperkenalkan di negeri ini.
“Jumlah harga bidaan tertinggi adalah nombor siri pendaftaran DED 1 dengan nilai RM158,888,” katanya.
Jumlah keseluruhan pembida bagi siri nombor DED adalah seramai 968 orang yang mana nombor plat DED 18, DED 41, DED 30, DED 101 dan DED 1805 merupakan nombor siri paling ramai pembida.
Tambahnya,selain itu, seramai 3,636 orang pengguna berdaftar dengan JPJeBid diterima sehingga tarikh tutup nombor siri DED Selasa lalu.