Pemandu di Britain akan didenda maksimum £5,000 (RM28,999) jika didapati memandu secara cuai disebabkan oleh pemakaian selipar.
Di bawah Undang-Undang 97 Kod Lebuh Raya, pemandu dinasihatkan memakai kasut dan pakaian yang tidak mengganggu kawalan pemanduan.
Sekiranya pemandu menggunakan selipar dikhuatiri mudah tercabut dan terjatuh di bawah pedal, sekali gus menghalang pemandu menekan pedal minyak atau menyumbang kepada situasi brek mengejut.
Keadaan itu boleh mengakibatkan kemalangan jalan raya. Di bawah undang-undang yang sama juga, pemandu boleh disabitkan kesalahan sekiranya ditahan oleh polis ketika memandu secara cuai atau kecuaian yang disebabkan oleh pemakaian kasut tidak sesuai.
Kesalahan itu membolehkan pemandu dikenakan denda serta-merta berjumlah £100 (RM580) atau tiga mata penalti bagi lesen memandu.
Bagi kes yang lebih serius atau pemandu yang dihadapkan ke mahkamah, mereka berdepan denda maksimum £5,000 (RM28,999), penalti sehingga sembilan mata dan larangan memandu.
Sementara itu, kajian yang dijalankan oleh sebuah syarikat insurans, Ingenie sebelum ini mendapati sebanyak 27 peratus pemandu di Britain berisiko menerima hukuman tersebut kerana memakai selipar.
Meskipun sebilangan besar penduduk Britain mengambil risiko itu kerana cuaca panas, kira-kira satu daripada tiga pemandu faham bahawa memandu sambil memakai kasut yang longgar adalah satu kesalahan.
Menurut Ketua Eksekutif Ingenie, Selim Cavanagh, hampir satu pertiga daripada pemandu tidak menyangka memandu dengan memakai selipar adalah satu kesalahan kerana ia amat berbahaya.