Brabus baru-baru ini memperkenalkan 800 SUV Coupe, sebuah jentera yang ditala dari Mercedes-AMG GLE 63 S 4MATIC+ Coupe.
Prestasi model ini hampir menyerupai Brabus GLE 63 S biasa, namun didatangkan dengan rupa bentuk yang lebih menarik.
Kenderaan utiliti sukan (SUV) tersebut dijana oleh enjin V8 4.0-liter mild-hybrid twin-turbo yang menghasilkan kuasa 789hp dan tork 1,000Nm serta menampilkan unit kawalan Brabus PowerXtra.
Pemasangan turbo baharu didatangkan dengan pemampatan lebih besar, pemasangan teras yang diubahsuai dan galas paksi bertetulang.
800 SUV Coupe turut dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda (AWD) 4MATIC+ menerusi tranmisi automatik 9-kelajuan.
Versi 789hp mampu memecut dari 0-100km/j dalam masa 3.4 saat, sementara kelajuan maksimum pula dihadkan kepada 280 km/j.
Dari segi penampilan, Brabus menyediakan pelbagai jenis penambahan berasaskan bahan gentian karbon dengan kemasan berkilat atau kusam bagi menaikkan seri badan AMG yang asal.
Gril depan baharu dengan logo Brabus disempurnakan dengan beberapa penambahan seperti sirip aero, fender, diffuser serta penambahan pada spoiler belakang.
Bahagian kaki pula didatangkan dengan rim tuangan 23-inci bersama tayar Continental, Pirelli, atau Yokohama. Sistem suspensi direndahkan sebanyak 25mm hasil daripada penggunaan suspensi udara Airmatic.
Selain itu, 800 SUV Coupe hadir dengan sistem ekzos sport tahan karat dengan kuad tip ekzos 90mm yang dikemaskan dengan titanium atau karbon, dan pemandu boleh mengawal runut bunyi yang dihasilkan menerusi kawalan flap ekzos aktif.
Untuk ruang kabin, Brabus menawarkan pilihan warna untuk upholsteri kulit dan Alcantara, selain daripada pedal aluminium, pedal shifter, serta plat ambang pintu beriluminasi.
Harga rasmi 800 SUV Coupe masih belum diumumkan secara rasmi, namun dijangka mencecah USD352,700 (RM1.49 juta).
GALERI
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar