Honda Malaysia bekerjasama dengan Honda Malaysia Suppliers Club (HMSC) menyampaikan sumbangan barangan keperluan bernilai RM40,000 kepada enam buah rumah kebajikan terpilih di Melaka.
Sumbangan tersebut memberi manfaat kepada lebih daripada 300 orang selain tanda sokongan kepada rakyat Malaysia yang berdepan dengan kesusahan sepanjang pandemik Covid-19 melanda.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Madoka Chujo berkata tahun 2021 sangat mencabar bagi Malaysia dengan peningkatan kes Covid-19 yang mencemaskan dan negara di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Jun lalu.
“Penutupan hampir keseluruhan sektor ekonomi menyukarkan rakyat untuk meneruskan kehidupan dan kami memahami situasi itu serta percaya untuk mengatasinya kita harus bersatu dan saling membantu dengan segala cara yang mungkin.
“Kami bekerjasama dengan HMSC bagi membantu meringankan beban terutama warga emas, anak yatim, orang kurang upaya dan gelandangan,” jelasnya.
Honda Malaysia menyampaikan sumbangan tersebut pada 26 dan 28 Julai lalu melibatkan barangan keperluan seperti beras, tepung, telur, minyak masak, lampin pakai buang, bahan pencuci dan lain-lain.