Berita itu diumumkan sendiri Rossi ketika sidang media khas menjelang perlumbaan GP Styrian, Austria. Walaupun keputusan yang sukar kekanda Rossi menyatakan:
“Aku putuskan untuk berhenti hujung musim ini, sayangnya ini menjadi separuh musim terakhir aku sebagai pelumba MotoGP.
Sedih susah nak kata sebab musim depan aku dah tak lumba motor lagi. Aku dah buat semua ni lebih kurang 30 tahun. Jadi tahun depan hidup aku akan berubah. Apapun semuanya bagus dan aku enjoy.
Satu perjalanan yang panjang, lawak semua ada. Selama 26 tahun dalam kejohanan dunia banyak momen tak boleh lupa dengan tim dan semua yang dah bekerja dengan aku. Dalam sukan keputusan berikan perbezaan dan penghujungnya inilah jalan yang terbaik. Rasanya lebih OK dengan keputusan aku sekarang dan aku tak boleh komplen pasal karier aku.”
Rossi memulakan debutnya dalam perlumbaan grand prix pada tahun 1996 menerusi kelas 125cc kemudian beralih ke kelas 250cc (1999) sekali lagi bersama Aprilia.
The Doctor itu merupakan pelumba paling lama bertanding dalam kelas perdana sukan dengan merekodkan 115 kemenangan.
Karier awal MotoGP Rossi bermula dengan Honda dan kemudian Yamaha bahkan dia sudah berlumba dengan pelbagai peringkat generasi pelumba bermula dengan Max Biaggi dan Sete Gibernau sehinggalah generasi baharu seperti Dani Pedrosa, Casey Stoner, Jorge Lorenzo dan akhir sekali adinda Marc Marquez.
Jadi apakah langkah seterusnya selepas persaraan. Seperti kita tahu musim depan pasukannya VR46 MotoGP bakal melakukan debut pertama mereka.
Khabar angin juga menyatakan Putera Arab Saudi, Putera Abdulaziz Abdulah Saud mahukan Rossi meneruskan kariernya dalam MotoGP dengan menyertai adiknya Luca Marini (VR46 Ducati Team). Namun, itu satu keputusan yang sukar.
Walaupun menggunakan namanya, Rossi menjelaskan dia tidak akan memegang jawatan formal dalam menguruskan pasukan tersebut.
Sebagai gantinya, Rossi mungkin dilihat meminati perlumbaan roda empat, terutamanya kereta GT. Ini kerana awal musim ini dia pernah berkongsi minat dalam perlumbaan kereta.
“Apabila tamat MotoGP, aku mahu lumba kereta. Aku peminat tegar rali tapi sukan rali ni makan masa dan payah sikit jadi aku lebih suka sukan lumba di litar.
“Lagipun aku ada pengalaman berlumba dengan GT3 (kereta sport) yang merupakan kategori penting dan menarik kerana melibatkan banyak kereta kilang berbeza dari Ferrari, Porsche, Bentley, Aston Martin dan semuanya.
“Jadi rasanya aku akan berlumba dengan kereta jenis itu lepas berhenti MotoGP. Tapi aku tak tau lagi nak join kejuaraan yang mana- ada kejohanan enduran, (Le Mans) 24 jam – tetapi aku berharap dapat berlumba di suatu tempat di sana,” jelasnya.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar