Mungkin anda terkejut apabila mengetahui harga nombor plat supercar ini mencecah sehingga USD12 juta (RM50 juta) bahkan lebih mahal daripada harga kereta tersebut.
Salah satu nombor plat termahal di dunia itu diletakkan pada Lamborghini Aventador SVJ Roadster dan pemiliknya berasal dari negara Qatar.
Tidak pelik jika pemilik berkenaan sanggup melabur sejumlah wang yang besar untuk nombor pendaftaran kenderaan saja. Mungkin dia saudagar minyak mengambil kira Qatar sebagai negara pengeluar minyak terkaya dunia.
Nombor plat 123 itu dibeli menerusi lelongan dan sekiranya maklumat tentang harga tersebut adalah benar maka ia menjadi salah satu nombor pendaftaran kereta termahal dunia.
Biasanya, nombor plat yang unik pasti harganya lebih tinggi dan menandakan sesuatu yang istimewa bagi pemilik sehingga sanggup membeli pada tawaran harga yang tinggi.
Aventador SVJ Roadster ini menampilkan warna putih mutiara, digabungkan dengan atap gentian karbon, reka bentuk aerodinamik, rim hitam, kaliper brek merah bersama grafik unggu.
Supercar ini menggunakan enjin V12 6.5 liter yang mampu menghasilkan kuasa 759hp dan tork 720Nm. Pecutan dari 0-100kmj mampu direkodkan dalam tempoh 2.9 saat dengan kelajuan maksimum 350kmj.
Ia dikeluarkan dalam jumlah terhad hanya 800 unit seluruh dunia pada harga bermula dari USD573,966 (RM 2.4 juta) di pasaran Amerika Syarikat manakala USD387,007 (RM1.9 juta) untuk pasaran Eropah.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar