Peminat kelab dan pemain Barcelona tentunya sedih apabila kapten pasukan, Lionel Messi meninggalkan tim bola sepak berkenaan.
Bintang Argentina itu meninggalkan Barcelona minggu lalu selepas 21 tahun bersama dan kini menandatangani kontrak selama dua tahun bersama Paris Saint-Germain (PSG) dengan gaji bersih €25 juta (RM123 juta) setahun.
Seperti mana kita tahu Messi merupakan pemain dengan gaji termahal di Barcelona dengan anggaran bayaran £108.2 juta (RM635 juta) setahun iaitu sekitar £2.1 juta (RM11.96 juta) seminggu.
Sempena perpindahannya ke pasukan baharu, ini tiga kereta super rare pernah dimiliki pemain berumur 34 tahun itu ketika bersama Barcelona.
Ferrari 335 S Spider Scaglietti 1957
Ferrari 335 S Spider Scaglietti 1957 merupakan supercar termahal milik Messi yang mana Ferrari hanya menghasilkan empat unit saja di dunia.
Jentera ini dibeli oleh Messi pada acara lelongan di Artcurial, Paris (2016) pada harga €32 juta (RM159 juta). Difahamkan Messi turut mengalahkan harga bidaan Cristiano Ronaldo.
Supercar klasik itu dijana oleh enjin 3.8L V12 yang menghasilkan kuasa sehingga 360hp dengan kelajuan maksimum 300kmj.
PAGANI ZONDA TRICOLORE
Kereta kedua paling unik Messi adalah Pagani Zonda Tricolore yang hanya dikeluarkan tiga unit di dunia. Supercar itu dihasilkan bagi memperingati ulang tahun ke-50 pasukan aerobatik Tentera Udara Itali, Frecce Tricolori.
Seperti kebanyakan Pagani, Zonda Tricolore diperbuat daripada bahan titanium, magnesium dan gentian karbon serta panel badan gentian karbon biru dan kelabu bersama grafik jalur merah, putih dan hijau pada hud depan yang mewakili warna pesawat Aermacchi MB-339-A Frecce Tricolori dan bendera Itali.
Pagani Zonda Tricolore dijana oleh enjin 7.3L V12 dengan kuasa 669hp dan tork 780Nm. Hypercar itu mampu memecut dari 0-100kmj dalam tempoh 3.4 saat dengan kelajuan maksimum 354 kmj.
FERRARI F430 SPIDER
Kemudian terakhir adalah Ferrari F430 Spider yang dijual pada $250,000 (RM1.05 juta). Ferrari F430 Spider dibekalkan dengan enjin 4.3 liter V8 yang menghasilkan kuasa 503hp dan tork 469Nm bersama transmisi 6-kelajuan manual.
Pecutan dari 0-100 kmj mampu dicapai dalam tempoh 4 saat dengan kelajuan maksimum 315kmj.