Industri automotif negara terjejas teruk bagi bulan Jun dan Julai, apabila kilang pengeluaran kenderaan bermotor, sektor pengedaran dan sektor penjualan ditutup ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) terutama di Lembah Klang sejak 1 Jun lalu.
Jualan kenderaan susut mendadak, iaitu hanya 7,086 unit kenderaan terjual pada Julai berbanding 58,878 unit yang dicatatkan bulan sama tahun lalu.
Namun berdasarkan statistik Persatuan Automotif Malaysia (MAA), jualan pada Julai 270 peratus lebih tinggi berbanding 1,921 unit yang dicapao pada Jun (2021).
Bagi tempoh Januari hingga Julai (2021), industri menjual 256,215 unit kenderaan iaitu 10 peratus lebih tinggi berbanding 232,423 unit yang dicatatkan tempoh sama tahun lalu.
“Bagi tempoh bulan dikaji, industri automotif menjual 4,949 unit kenderaan penumpang dan 2,137 unit kenderaan komersial, berbanding 53,415 unit dan 5,463 unit yang dijual masing-masing bagi kenderaan penumpang dan komersial pada Julai 2020.
“Jualan yang diraih pada Julai kebanyakan disumbangkan daripada Sabah dan Sarawak di mana bilik pameran dibenarkan beroperasi di bawah Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Pendaftaran kenderaan secara dalam talian bagi tempoh bulan dikaji juga sangat rendah,” kata Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad.
Mengenai unjuran jualan Ogos 2021, jualan pada bulan semasa dijangka lebih tinggi berbanding Julai lalu susulan bilik pameran di kebanyakan negeri termasuk pasaran utama di Selangor dan Kuala Lumpur dibenarkan beroperasi berdasarkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan kadar vaksinasi pekerja.
Bagaimanapun pembukaan 11 sektor perniagaan yang baru diumumkan memberi sedikit kelegaan terhadap industri automotif.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar