Pembatalan GP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) buat kali kedua bukan saja mengecewakan peminat tempatan bahkan pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin.
Hafizh menyatakan masa depan buatnya masih belum menentu dan adakah dia dapat beraksi di Sepang tahun depan.
“Saya pun tak tahu masa depan saya macam mana. Kalau saya tak ada tahun depan, mungkin belum pasti ada pelumba Malaysia yang akan beraksi.
“Saya tak pernah berlumba Moto2 menggunakan enjin Triumph di Sepang dan kali terakhir berlumba adalah pada MotoGP (2019) bersama KTM,” jelasnya.
Dia juga mengakui pembatalan kali kedua itu menyebabkan peminat tempatan terutama penyokong setia Valentino Rossi tidak dapat menonton aksi terakhir pelumba legenda itu yang akan bersara musim ini.
“Ramai peminat yang masih menyokong Valentino Rossi, yang nak tengok Valentino berlumba di Sepang buat kali terakhir,” katanya.
Perlumbaan GP Malaysia (2021) dibatalkan berikutan situasi semasa pandemik Covid-19 serta sekatan perjalanan dilaksanakan Malaysia menjadikan tahun kedua berturut-turut penganjuran perlumbaan itu dibatalkan.