Tindakan tiga lelaki yang sengaja tidak berhenti ketika ditahan dalam Sekatan Jalan Raya (SJR) di depan sebuah bank di Jalan Serdang, Kulim, Kedah mengundang padah apabila ditahan polis.
Tindakan samseng lelaki berkenaan yang berusia 24 hingga 26 tahun itu mengundang bahaya kepada seorang pegawai polis berpangkat inspektor kerana hampir dirempuh Perodua Myvi dinaiki suspek.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam berkata pegawai polis sudah memberi isyarat supaya menghentikan kenderaan untuk pemeriksaan dalam kejadian jam 6.30 petang itu.
“Jarak antara pegawai dan kereta tersebut kira-kira 15 meter dan pemandu terus memecut laju walaupun sudah disuruh berhenti dan mujur anggota polis sempat mengelak.
“Namun tangan kiri pegawai terbabit dilanggar hingga merosakkan radio mudah alih dipegangnya selain cermin sisi kiri kereta suspek turut pecah,” katanya.
@mrkateki
Kemudian, suspek memecut menuju ke arah jalan Kilang Lama dan dikejar Unit Kereta Peronda Polis (MPV).
Bagaimanapun cubaan suspek melepaskan diri tidak berhasil dan ditahan di persimpangan lampu isyarat Jalan Lunas.
Hasil pemeriksaan lanjut pihak polis tidak menemui sebarang senjata atau barang yang menyalahi undang-undang dalam kereta suspek.
@mrkateki
“Suspek juga bebas daripada pengaruh dadah, namun pemandu didapati tiada lesen memandu manakala dua penumpang pula tidak membawa dokumen pengenalan diri.
“Semua suspek memberitahu mereka sengaja enggan bekerjasama dan memberhentikan kereta walaupun sudah diarahkan berbuat demikian,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (KK) Seksyen 186 KK dan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Video penahanan suspek dikongsi pemilik akaun TikTok @mrkateki yang kebetulan berada ditempat kejadian.