Hanya kerana bosan dan ingin melepaskan gian melakukan aksi drift, seorang lelaki ditahan dan kereta disita pihak polis.
Lelaki berkenaan melakukan aksi drift tersebut di kawasan lampu isyarat di depan Wisma Tani di Jalan Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur Selasa lalu.
Hasil maklumat yang diterima, polis menahan suspek yang berusia 30 tahun itu di depan pusat beli belah di Jalan Tunku Abdul Rahman pada jam 4.30 pagi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, hasil aduan orang awam dan risikan Unit Risikan Operasi JSPT mengesan suspek.
“Ketika disoal siasat dia melakukan aksi drift itu bagi melepaskan gian dan kebosanan serta ingin mendapatkan keseronokan ketika Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Sebelum ini suspek berkumpul bersama rakannya dan melakukan aksi drift itu di litar di Shah Alam, Selangor namun sejak PKP dilaksanakan dia tidak dapat merentas daerah,” katanya.
Kenderaan yang digunakan turut disita dan hasil pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati dia melakukan kesalahan ubah suai kenderaan.
“JPJ mengeluarkan dua saman atas kesalahan penyerap bunyi tidak mengikut spesifikasi dan ubah suai bentuk serta peralatan kenderaan.
“Pemilik asal kenderaan terbabit juga akan dipanggil kerana suspek masih belum menukar nama ketika membeli kereta itu,” katanya.
Hasil semakan suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau dan direman dua hari tetapi sudah dibebaskan dengan jaminan polis kelmarin. Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.