Laman web goo-net memuatnaik iklan sebuah model kenderaan nasional untuk dijual yang bertulis “kereta rare, model rali import dari Malaysia”.
Model yang kami sebutkan adalah Proton Satria Neo yang disenaraikan untuk dijual di daerah Nakakoma, wilayah Yamanashi, Jepun.
Iklan itu menyatakan Proton Satria Neo 1600cc DOHC (113 PS/146 Nm) itu didatangkan dengan transmisi 5-kelajuan manual bersama stereng sport Momo, rim 15-inci, limited slip differential (LSD) Cusco, bluetooth, kamera undur dan sistem navigasi penuh.
Model keluaran 2016 dengan warna badan putih itu memiliki rekod perbatuan 28,000km dan pemeriksaan kereta berakhir pada November 2022.
Tanda harga badan jentera itu sekitar Yen 1 juta (RM37,600) dan jika anda berminat untuk membeli model tersebut perlu membayar total Yen 1.6 juta (RM60,000).
Menurut Wapcar, harga jualan itu lebih mahal berbanding model Neo terpakai di Malaysia. Bagaimanapun model itu dibangunkan untuk rali dan sangat sedikit boleh dilihat di jalan raya.
Peminat kereta Jepun mengenali Satria Neo sebagai model rali underdog buat pelumba amatur atau separa profesional yang memiliki bajet terhad. Ini kerana pilihan model rali daripada Subaru dan Mitsubishi misalnya jauh lebih mahal.
Jika diperhatikan hatchback itu menyerupai kereta pengeluaran dengan beberapa perubahan dan ubah suai.
Bagaimanapun bahagian papan pemuka dan pintu panel kekal tidak berubah kerana peraturan asal menjelaskan semua kemasan dalaman harus ada termasuk tempat duduk belakang.
Bagaimanapun model itu boleh berada di Jepun?, kembali ke tahun 2012 Proton Motorsports dan pengeluar komponen automotif Jepun Carrosser Co. Ltd (Cusco) memperkenalkan Satria Neo buat peminat dan pasukan rali sukan pemotoran Jepun.
Pengumuman itu dilakukan pada Tokyo Auto Salon (2012) dan ketika itu pilihan kereta rali yang bersesuaian sangat terhad. JDM Satria Neo dijual oleh rangkaian pengedar Cusco dengan tawaran satu pilihan model sahaja.
Walaupun dihasilkan untuk rali, model asas Satria Neo itu boleh digunakan di jalan raya Jepun dengan pasaran yang niche kerana eksklusif dijual oleh Cusco. Model yang mendapat sentuhan talaan pengendalian Lotus itu dijual sehingga 2018.
GALERI