Video berdurasi 30 saat tular memaparkan aksi remaja menguji kelajuan Yamaha 125Z yang diubah suai di Kilometer 16 Jalan Kuala Selangor – Kuala Lumpur.
Namun tindakan dua lelaki termasuk seorang remaja membawa padah apabila ditahan polis dalam tempoh sejam di dua serbuan berasingan.
Bertindak hasil daripada video yang tular pihak polis menahan pemilik motosikal itu di Jalan Rizab Masjid, Bukit Hijau pada jam 7 petang.
“Hasil semakan terhadap motosikal itu mendapati tiada nombor pendaftaran depan dan belakang.
“Selain itu, nombor enjin dan casis motosikal itu sudah diusik. Kita kemudiannya merampas motosikal tersebut,” kata Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa.
Selain kedua-dua suspek berusia 18 dan 20 tahun tersebut ditahan, sebuah telefon bimbit milik suspek turut dirampas dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis memberi amaran kepada orang ramai untuk tidak mengubahsuai motosikal atau terlibat aktiviti lumba haram kerana ia menyalahi undang-undang dan tindakan sita akan dikenakan terhadap mereka sekiranya didapati melakukan kesalahan itu.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar