Sekolah memandu dibenar beroperasi mulai esok secara janji temu

1368

Pengusaha institut memandu antara yang terkesan terpaksa menampung kos operasi tinggi dan menangguh latihan ratusan calon selepas tidak dapat beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengumumkan bahawa Industri latihan pemanduan (ILP) kenderaan motor di seluruh negara dibenarkan beroperasi mulai Khamis ini (esok) semasa tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) secara janji temu.



“Walaupun institut memandu (IM) boleh mula beroperasi mulai Khamis, proses pengujian bagi mendapatkan lesen memandu berkaitan hanya akan bermula pada 17 September.

“Tempoh masa ini diperuntukkan kepada pihak IM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk bersedia sepenuhnya bagi mengelakkan isu-isu berbangkit yang boleh memberi kesan negatif kepada calon,” katanya .

Kebenaran tersebut telah mendapat kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu tertakluk kepada pematuhan beberapa perkara.

“Pertamanya, pematuhan sepenuhnya ke atas prosedur operasi standard (SOP) PPN berfasa yang berkuat kuasa.

“Kedua, pekerja, tenaga pengajar dan calon telah lengkap menerima vaksin dengan mengemukakan sijil digital vaksinasi Covid-19 dan kad pengenalan sebagai pembuktian.

“Ketiga, syarikat hanya dibenarkan beroperasi dengan kapasiti pekerja berdasarkan peratusan pekerja yang lengkap menerima vaksin.

“Keempat, kehadiran mana-mana kakitangan atau calon yang bergejala, sedang dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), ‘person under surveillance (PUS) dan sedang dalam perintah kuarantin adalah tidak dibenarkan.

“Kelima, mematuhi protokol kesihatan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pelaksanaan norma baharu seperti pemeriksaan suhu badan, mengimbas MySejahtera, mengamalkan penjarakan fizikal, pemakaian pelitup separuh muka dan penyediaan ‘hand sanitizer’,” katanya.

Semua kakitangan dan calon dinasihatkan juga perlu mematuhi protokol kesihatan yang ditetapkan oleh kementerian kesihatan (KKM) dan melaksanakan norma baru.

Sebarang ketidakpatuhan SOP ditetapkan boleh diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here