Kereta klon sebenarnya sukar dikesan sehinggalah tertangkap ketika operasi pemeriksaan penguatkuasa.
Kereta klon melibatkan dua buah model sama yang menggunakan nombor pendaftaran sama namun hanya satu sahaja yang sah dan rekod disimpan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Baru-baru ini, satu video tular di media sosial apabila pengguna TikTok @milysha20 yang berkongsi nombor pendaftaran Myvi miliknya digunakan pada sebuah model Honda Civic FD.
Perkara itu hanya diketahui apabila dia menerima saman AES yang tertera model Civic tersebut.
Bagaimanapun, pemilik Myvi berkenaan sudah membuat laporan polis dan mengemukakan kesemua bahan bukti termasuk surat laporan polis ke JPJ berdekatan untuk menyemak nombor badan dan enjin kereta untuk pengesahan.
Setelah pengesahan dan semakan dibuat, barulah pihak JPJ akan membersihkan saman yang dikeluarkan kepada pemilik Myvi tersebut di dalam sistem.
Video tersebut mendapat lebih 700,000 jumlah tontonan dan orang ramai meninggalkan pelbagai komen, kebanyakan netizen kecewa dengan sikap individu berkenaan yang penting diri.
Individu yang memiliki atau menggunakan kereta klon akan didakwa di bawah Seksyen 7 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak lebih RM10,000.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar