Baru-baru ini, tular video berdurasi 1 minit 2 saat menunjukkan cubaan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) meloloskan diri daripada sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 72 Jalan Klang-Teluk Intan.
Pemandu dan penumpang MPV berkenaan bertindak memecut secara melawan arus sejauh kira-kira dua kilometer dari tempat pemeriksaan polis dalam kejadian 6.30 petang itu.
Justeru itu, polis bertindak mengejar MPV tersebut hingga ke Jalan Tali Air 6 dan memasuki Jalan Haji Miskan sebelum pemandu disyaki melompat keluar dari kenderaan yang masih bergerak sebelum MPV itu terbabas ke parit di kiri jalan.
Bagaimanapun pemandu berjaya melarikan diri, manakala penumpang MPV tersebut berjaya di tahan.
“Hasil pemeriksaan ke atas suspek berusia 27 tahun itu menemui 19 paket dadah disyaki jenis syabu seberat 15.5 gram di dalam beg sandangnya.
“Dadah terbabit dianggarkan bernilai RM450. Hasil semakan lanjut mendapati suspek yang mengalami kecederaan ringan di kaki kiri, turut mempunyai rekod lampau dadah.
“Malah, ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine,” kata Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon.
Suspek diserahkan ke Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam untuk siasatan lanjut. Pada masa yang sama, polis sudah mengenal pasti identiti pemandu MPV terbabit dan usaha memburunya sedang giat dijalankan.
BACA>>Pemandu Mitsubishi Triton lawan arus berdepan hukuman gantung!
BACA>>Berlumba lawan arus, polis tahan pemandu Nissan GTR R35, BMW M6 dan Mercedes
VIDEO
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar