Julai lalu, Pos Malaysia Bhd mengumumkan pelantikan Charles Brewer sebagai Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan baharu, berkuatkuasa 1 Ogos 2021.
Lebih sebulan bertugas Charles Brewer menjadi perhatian warga maya baru-baru ini apabila turut sama turun padang menghantar barang sekitar Kuala Lumpur.
Video berdurasi selama tiga minit berkenaan menerima hampir 9,000 tanda suka bahkan Brewer kelihatan ceria memunggah barangan di Pusat Pos Laju Brickfields.
Beliau juga tidak kekok memasukkan kesemua bungkusan ke dalam van sebelum menuju ke beberapa rumah pelanggan.
“Salah satu perkara yang saya berpeluang lakukan adalah keluar menghantar barangan dan cara terbaik untuk saya dekat dengan pekerja dan mengetahui cabaran yang dihadapi atau peluang terbuka mereka serta mengetahui keperluan pelanggan,” katanya.
Lebih lucu, Brewer juga sempat memohon maaf sekiranya dia terlewat beberapa saat.
“Mat salleh tidak berapa tahu selok belok Kuala Lumpur jadi maafkan saya harap bersabar jika saya terlewat,” jelasnya.
Walaupun berasal dari Britain, Brewer sebenarnya sudah biasa dengan suasana negara ini kerana isterinya, June adalah warga tempatan serta dua anaknya, Ella dan Henry menetap di ibu negara.
Tentunya dengan kehadiran Mat Salleh sebagai penghantar barang mengejutkan penerima, namun Brewer, 56, dalam nada bersahaja hanya berkata: “Maaf, saya cuma pekerja baharu.”
Pelanggan terakhirnya pula menetap di tingkat 32 sebuah apartmen dan sempat berseloroh menyatakan tidak menggunakan tangga kerana dirinya sudah terlalu tua dan memilih lif. Brewer tetap optimis rakyat negara ini masih setia memilih Pos Malaysia.
VIDEO
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar