Polis berjaya menahan lima lelaki berusia antara 23 hingga 60 tahun yang terlibat dalam sindiket pembelian alat ganti kenderaan dalam serbuan di Kuantan, Pahang.
Tangkapan itu dijalankan susulan laporan seorang lelaki yang mendakwa ditipu dalam urusan pembelian barangan alat ganti kenderaan mengakibatkan kerugian hampir RM1 juta kepada syarikat pembekal dan peniaga berkenaan.
Sindiket tersebut menggunakan modus operandi menyerahkan slip pembayaran perbankan berjadual atau ‘Inter Bank Giro’ (IBG) bagi menipu kononnya bayaran sudah dilakukan.
Setelah barangan alat ganti kenderaan diterima, sindiket akan membatalkan segera pembayaran perbankan menerusi IBG itu dan melarikan barangan tersebut.
Namun, taktik tersebut tidak berpanjangan apabila diserbu pihak polis dan hasil serbuan berjaya membongkar lokasi simpanan alat ganti kenderaan yang bernilai kira-kira RM936,783.
”Sindiket ini berselindung dengan menggunakan nama Syarikat Ban Heng Auto dan dipercayai menjalankan operasi penipuan sejak Mac tahun ini,” kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din.
Kesemua suspek direman selama lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.
BACA>>Bekalan komponen, alat ganti kenderaan dan industri automotif global dijangka terjejas
BACA>>Jangan buat sebarang bayaran ke akaun bank peribadi untuk elak ditipu Perodua
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar