Central Spine Road (CSR) dari Bentong ke Lebu kini sudah dibuka buat pengguna dengan laluan sepanjang 28.5km.
Laluan tersebut melibatkan Seksyen 5 dari Kampung Asap ke Kampung Sertik sepanjang 5.78km dan Seksyen 5D iaitu Bentong Bypass sejauh 22.72km.
Pembinaan kedua-dua seksyen tersebut melibatkan kos sebanyak RM631.98 juta yang merangkumi pembinaan jalan baharu empat lorong dua hala, laluan di Kampung Lebu, sembilan jambatan, bulatan di Mempaga dan dua persimpangan bertingkat di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Kampung Benus.
Menerusi pembukaan jalan tersebut dapat mengurangkan kesesakan jalan Persekutuan sedia ada di bandar Bentong di samping memendekkan perjalanan dari Kampung Mempaga ke pekan Bentong kepada 12km (20 minit) berbanding sebelumnya 30km (45 minit).
Pembinaan Lebuhraya Central Spine Road (CSR) dari Kuala Krai, Kelantan ke persimpangan Lebuhraya Pantai Timur fasa 1 (LPT1) sepanjang 306.8km dengan kos RM7.3 bilion itu dijadual siap pada 2026.