Seorang pemuda nekad menunggang motosikal sejauh 420km dari Kuala Lumpur ke Pasir Puteh, Kelantan selepas Perdana Menteri mengumumkan kebenaran rentas negeri.
Hanya mahu dikenali sebagai Anas, dia memilih menunggang motosikal kerana itu saja harta yang dimilikinya selepas kehilangan pekerjaan susulan tempat dia bekerja terpaksa menutup operasi akibat pandemik Ogos tahun lalu.
“Saya bertolak balik ke Kelantan pada pukul 1 pagi (semalam). Sebenarnya saya sudah tidak mampu lagi untuk tinggal di Kuala Lumpur dan mahu pulang ke kampung.
“Sebelum ini, saya hanya terbayangkan kampung dan apabila dibenarkan, saya segera mengemas pakaian. Sudah lama saya tidak berjumpa dengan ibu dan ayah,” kata bekas operator elektrik berkenaan.
Dia yang berusia 25 tahun menjelaskan kebenaran merentas negeri amat dinantikan. Sebelum ini dia pernah bekerja di tempat lain namun tidak bertahan lama.
Dalam tempoh setahun, Anas terpaksa menumpang rumah kenalannya di sekitar ibu negara kerana tidak mampu membayar sewa dan wang simpanan juga sudah habis.
Tambahnya selepas kehilangan pekerjaan dia mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan bekerja sebagai penghantar makanan untuk tampung perbelanjaan bulanan.
“Walaupun terpaksa menebalkan muka menumpang di rumah rakan-rakan, namun saya bersyukur kerana mereka memahami dan saya hanya memberikan (wang) sekadar yang termampu,” jelasnya.