Seorang lelaki yang tular menunaikan solat di tengah jalan raya sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas di Jalan Ipoh, berhampiran Shell Taman City menghala ke pusat bandar semalam merupakan pesakit psikiatri.
Lelaki warga tempatan berusia 30 tahun itu sepatutnya menerima rawatan pesakit psikiatri di Hospital Selayang, namun melarikan diri dari wad.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasa Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, berikutan kejadian tersebut pihak Hospital Selayang telah dihubungi dan menghantar ambulans ke lokasi kejadian dan membawa lelaki tersebut untuk rawatan selanjutnya.
“Sampai ke tempat kejadian mendapati seorang lelaki sedang berdiri di tengah jalan sambil melaungkan azan dan bersolat.
“Anggota bertindak memujuk lelaki tersebut dan membawanya ke Stesen Minyak Shell berhampiran untuk tujuan menenangkannya,” katanya.
BACA>>Lima saman trafik kepada pelajar ‘carut’ guru
Tambahnya, anggota JSPT Kuala Lumpur yang bertugas membuat rondaan setelah menerima maklumat berkaitan kesesakan di Jalan Ipoh.
Lelaki tersebut juga memakai gelang putih yang menyerupai gelang hospital. Terdahulu tular di laman sosial video berdurasi 29 saat memaparkan seorang lelaki sedang solat di atas jalan raya dengan tidak menghiraukan keadaan sekeliling sambil di pantau oleh polis trafik.
Tindakan anggota tersebut yang berdiri dibelakang lelaki itu sambil mengarahkan kereta-kereta di jalan raya supaya terus bergerak agar tidak menyebabkan kesesakan lalu lintas mendapat perhatian warganet.