Yamaha Motor Co Ltd mengesahkan menandatangani perjanjian dengan RNF Racing Ltd. Susulan itu, WithU Yamaha RNF MotoGP bersiap sedia untuk era baharu musim depan dan pilihan dilanjutkan untuk musim 2023 and 2024.
Untuk makluman, penjenamaan semula nama pasukan kepada WithU Yamaha RNF MotoGP selepas Datuk Razlan Razali memeterai perjanjian dengan firma Itali, WITHU sebagai penaja utama selama tiga tahun.
Yamaha membenarkan pasukan satelit independan berkenaan menggunakan jentera Yamaha YZR-M1 musim depan. Kini barisan pelumba pasukan juga lengkap apabila Darryn Binder menyertai pasukan itu meninggalkan kelas Moto3 untuk beraksi bersama Andrea Dovizioso.
Menurut Prinsipal pasukan, Datuk Razlan Razali, dia berterima kasih kepada Yamaha atas keyakinan dan kepercayaan yang diberikan kepada pasukan untuk musim yang akan datang walaupun terdapat perubahan yang berlaku tahun ini.
“Pencapaian yang dicapai bersama dalam tiga tahun pertama perkongsian kami dengan kemenangan, podium, posisi pole, dan anugerah memotivasi kami untuk mencapai tahap yang lebih tinggi,” katanya.
BACA>>Mengapa brek belakang penting dalam MotoGP dan pelumba menggunakan brek ibu jari?
Sementara Pengarah Urusan Yamaha Motor Racing, Lin Jarvis berkata teras DNA pasukan masih kekal dan yakin meneruskan kerjasama dengan mereka sebagai pasukan rasmi satelit sokongan.
“Lagipun Yamaha sentiasa jelas ingin terus meletakkan empat motor di grid MotoGP iaitu dua buah dari pasukan pengilang dan dua lagi dari pasukan independan.
“Kami akan lakukan terbaik untuk menyokong RNF Racing Ltd bagi mencapai sasaran mereka dan menjadi batu loncatan buat bakat akan datang ke dunia Yamaha di MotoGP,” jelasnya.