Minggu lalu, Honda Malaysia mendedahkan video teaser yang menunjukkan kemunculan model City Hatchback ke pasaran tempatan tidak lama lagi.
Terbaru, pengedar rasmi jenama Honda itu memuatnaik sekeping foto di laman Facebook yang menunjukkan lampu depan dengan ciri LED City Hatchback.
BACA>>Honda Malaysia tayang video teaser City hatchback, bakal lancar tahun ini
Imej depan bahagian kiri City Hatchback itu memaparkan jalur lampu nyala siang (DRL) bersama lampu kabus dengan perumah hitam. Turut kelihatan lencana RS merah pada bahagian gril honeycomb.
Turut tertulis sebaris ayat di bawah imej tersebut iaitu Outshine All Else (Mengatasi Segala). Buat masa ini spesifikasi lengkap City Hatchback pasaran tempatan masih lagi disimpan rapi Honda Malaysia.
Bagaimanapun, berdasarkan video teaser sebelum ini, di belakang City hatchback tertera lencana e:HEV RS yang memberi petunjuk pasaran tempatan akan menerima pilihan hibrid.
Sekiranya ia menggunakan rangkaian kuasa sama seperti City RS, powertrain i-MMD baharu itu mampu menjana 253Nm tork, iaitu setaraf dengan enjin 2.5-liter aspirasi natural.
Adakah sebaris ayat berkenaan memberi petunjuk bahawa City Hatchback bakal mengatasi pesaing terdekatnya seperti Toyota Yaris, Perodua Myvi dan Proton Iriz?. Kita nanti saja hari pelancaran.