Indonesia akan menjadi tuan rumah pusingan akhir Kejohanan Dunia Superbike (WSBK) hujung minggu depan. Bagaimanapun, belum lagi perlumbaan bermula sudah ada insiden tidak diingini berlaku.
Perlumbaan yang bakal berlangsung di litar baharu Pertamina Mandalika Street Circuit, Lombok, Nusa Tenggara Barat itu mengundang marah pihak Ducati apabila salah seorang kakitangan membuka kotak kargo jentera pasukan tersebut.
Pengarah Sport Ducati Corse, Paolo Ciabatti agak berang dengan kejadian yang berlaku.
“Ramai yang mengingatkan kejadian seperti ini hanya terjadi ketika perlumbaan antarabangsa di negara-negara dunia ketiga, 40 tahun lalu,” ujarnya geram.
Video dan gambar kejadian dikongsi di media sosial yang menunjukkan kakitangan tersebut bukan sekadar membuka kotak bahkan menyentuh komponen jentera dan dijadikan konten media sosial dan Youtube.
Menurut Pengarah Strategi dan Komunikasi Mandalika Grand Prix Association (MGPA), Happy Harianto, insiden itu berlaku ketika pemeriksaan kastam dan individu yang melakukan perkara tersebut bukan kakitangan MGPA.
Proses membuka kargo pasukan Ducati mengikut prosedur yang mana setiap barang yang masuk ke Indonesia perlu diperiksa dan dibuka penghantar yang menguruskan import/eskport.
“Barang yang masuk ke Indonesia harus melalui pemeriksaan sebelum diizinkan digunakan. Pemeriksaan harus dibuka oleh pemilik barang atau pihak forwarder yang mengurus import/eksport dengan izin pemilik iaitu Dorna.
“Saat pemeriksaan dilakukan, boks motor dibuka oleh forwarder disaksikan oleh pihak Dorna dan pelepasan kastam,” jelasnya.
Dia sempat sesal adanya pihak tidak bertanggungjawab merakamkan dan tularkan kejadian selain menegaskan pihak yang mengambil gambar dan menularkan proses tersebut bukan pegawai MGPA.
Difahamkan kotak kargo berkenaan merupakan Ducati Panigale V4 R milik Michael Ruben Rinaldi, pelumba pasukan Aruba.it Racing-Ducati. Untuk makluman, kargo logistik WSBK hanya boleh dibuka pasukan lumba atau pihak berkuasa kastam tempatan.
Ini dilakukan bagi menghindari kemungkinan pengintipan dan manipulasi daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.
Susulan kejadian tersebut, Pengarah Eksekutif WSBK, Gregorio Lavilla memohon maaf atas insiden yang berlaku.
“Insiden ini di luar kawalan kami dan kakitangan yang membuka kargo tersebut sudah dipecat,” katanya menerusi portal Speedweek.
Bagaimanapun dalam kenyataan rasmi MGPA mengungkapkan bahawa Gregorio Lavilla yang sempat marah besar atas insiden itu sudah memaafkan dan sedia maklum dengan kelalaian yang terjadi.
Untuk makluman, sebahagian besar kru dan kakitangan WSBK masih belum tiba di Indonesia kerana mereka perlu menjalani kuarantin selama dua hari sementara seluruh pasukan logistik WSBK akan tiba secara berperingkat dari Doha ke Lombok pada Isnin dan Selasa.
View this post on Instagram
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar