Myvi Facelift: Harga mampu milik, ciri keselamatan premium…mana nak cari boh!

2831

Generasi ketiga Perodua Myvi diperkenalkan ke pasaran tempatan pada 2017. Setelah tiga tahun di pasaran tiba masanya model hathchback popular lokal itu melalui proses kitaran produk agar kekal signifikan.

Myvi dengan kod D51A rasmi dilancarkan secara atas talian sebentar tadi. Projek yang bermula pada 2019 dengan pelaburan RM50 juta itu memfokuskan tiga keutamaan hala tuju iaitu nilai tertinggi, rekaan dinamik dan ciri keselamatan termaju.



Perodua Myvi Facelift (2021) menerima ciri sistem penuh Perodua Smart Drive Assist (PSDA) sama seperti Perodua Ativa. Pengeluar kenderaan kedua nasional tersebut sekali lagi menaiktaraf Advance Safety Assist (ASA) berbanding versi tahun lalu. 

“Ini adalah pertama kali dalam sejarah Malaysia, syarikat kereta menawarkan teknologi Autonomi Tahap 2 di bawah tanda harga RM60,000,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad.

Kini Perodua menawarkan ASA 3.0 dengan teknologi Autonomi Tahap 2 berbanding Tahap 1 sebelumnya. Lebih menarik ciri bantuan keselamatan tersebut ditawarkan pada semua varian kecuali Myvi 1.3L G (terendah).

1. Sistem ASA 3.0

Sistem ASA 3.0 masih lagi memiliki komponen sama dengan ASA 2.0, namun didatangkan dengan ciri tambahan dan prestasi yang ditambah baik.

  • Amaran pra perlanggaran (PCW)

Sistem akan mengesan pejalan kaki, kenderaan, motosikal dan basikal dengan memberi amaran apabila kemalangan hampir berlaku dan mengeluarkan bunyi buzzer. Ia kini berfungsi pada kelajuan 4kmj hingga 120kmj (kenderaan, motosikal & basikal) dan 4kmj hingga 60kmj (pejalan kaki).

  • Brek Pra Perlanggaran (PCB)

Sekiranya pemandu tidak bertindak balas pada amaran audio dan visual yang dikeluarkan PCW, sistem PCB akan mengambil alih dengan membrek. Menurut Perodua sistem ini boleh digunakan lebih daripada tiga kali (tanpa had) serta tidak perlu mematikan enjin bagi mula semula (restart) sistem, seperti mana ASA 1.0 dan 2.0.

  • Front Departure Alert (FDA)

Untuk FDA dan PMC pula, operasinya masih lagi sama. FDA memberi amaran apabila kereta di depan sudah mula bergerak daripada keadaan berhenti (seperti di lampu isyarat atau kesesakan trafik) dan ia diaktifkan apabila anda berada dalam jarak 10 meter daripada kereta depan.

  • Pedal Misoperation Control (PMC)

Sementara, PMC pula memutuskan penyampaian kuasa dari enjin sekiranya mengesan terdapat halangan di depan kenderaan, dalam jarak empat meter. Ia tidak akan membenarkan kereta bergerak ke depan dan kuasa enjin akan dikawal selama lapan saat. Sistem ini mengelak risiko kemalangan apabila pemandu tersalah pijak pedal secara tidak sengaja.

2. Kawalan Kruise Adaptif (ACC)

ACC berfungsi mengawal halaju kereta yang mana sistem akan mengambil alih kawalan mengikut kelajuan yang ditetapkan pemandu.

Bagi Myvi Facelift, sistem akan mengesan kelajuan kenderaan depan (kereta atau motosikal) dan selepas itu pemandu boleh menetapkan tiga peringkat jarak selamat yang diinginkan dengan kereta depan. 

Kelajuan boleh dipilih antara 30kmj hingga 125kmj.  Bagi pemandu Malaysia, sistem ini membantu untuk mengelak saman di kawasan perangkap had laju lebuh raya. 

Selain itu, sistem ini juga disokong dengan Kawalan Kekal Lorong (LKC) bagi memastikan kenderaan tidak terkeluar dari lorong dengan jarak antara setiap lorong lebih daripada tiga meter. 

*hanya ditawarkan pada varian 1.5 AV

3. Lane Keeping System (LKS)

Sistem ini akan menjaga kenderaan kekal pada lorong yang betul. Sistem akan mengesan garis jalan (warna putih atau kuning) di kiri dan kanan kenderaan. 

Apabila kenderaan terkeluar dari lorong, Lane Departure Warning (LDW) mengeluarkan bunyi buzzer dan menyalakan lampu indikator pada panel instrumen secara serentak. Manakala ciri keselamatan Lane Departure Prevention (LDP) akan membantu membetulkan semula stereng.

Misalnya sistem mengesan stereng secara tidak sengaja bergerak ke arah kanan, maka LDP akan menarik ringan stereng ke arah kiri. 

*LDP dan LDW ditawarkan pada semua varian kecuali 1.3G terendah

4. Sistem Pemantau Titik Buta (BSM)

BSM membantu pemandu untuk melihat sekeliling kenderaan yang tidak mampu dijangkau mata dengan menyalakan kedipan lampu pada cermin sisi. Sistem aktif pada kelajuan melebihi 16kmj. 

*hanya ditawarkan pada varian 1.5 AV

5. Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA) 

RCTA (hanya ditawarkan pada varian 1.5 AV) menawarkan maklumat tentang objek bergerak di belakang kereta. Perodua Myvi Facelift mampu mengesan kenderaan menghampiri pada kelajuan rendah 8kmj (jarak 5.5 meter) dan kelajuan tinggi 28kmj (jarak 20 meter).

Sistem akan memberi amaran lampu kedipan pada cermin sisi dan mengaktifkan bunyi buzzer  ketika pemandu mengundur keluar dari parkir. 

Selain itu, King of the road berkenaan juga didatangkan dengan ciri keselamatan baharu misalnya kunci pintu automatik yang diaktifkan sebaik kenderaan bergerak pada kelajuan melebihi 20kmj atau membrek.

Turut tersedia ciri lampu tinggi automatik (AHB) yang ditawarkan pada semua varian (kecuali 1.3G terendah). Fungsi ini membolehkan lampu tinggi yang terpasang diturunkan secara automatik setiap kali Myvi berselisih dengan kereta lain bagi mengelakkan silau pada kenderaan bertentangan. 

Ciri keselamatan standard lain yang disediakan adalah empat beg udara (varian 1.3G & 1.5 X), 6 beg udara (1.5 H & AV), Sistem Brek Anti Kunci (ABS) dan Agihan Brek Elektronik (EBD), Kawalan Traksi (TRC), Bantuan Penghidup Bukit (HSA), Signal Henti Kecemasan dan Isofix.  

GALERI

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here