Nampaknya keluarga Honda X-ADV semakin besar selepas Honda memperkenalkan model skuter kembara yang baharu menerusi ADV 350.
Jika sebelum ini ia diperkenalkan dengan versi yang berkapasiti kecil, tetapi kali ini versi 350cc pula dilancarkan pada peringkat global.
Dari segi reka bentuknya, ia masih lagi menerapkan genetik asal daripada X-ADV 750, cuma penggunaan enjin yang berlainan.
Dari segi enjin, ia menggunakan rangkaian kuasa silinder tunggal sejukan cecair 330 cc. Ia menghasilkan 28.8hp pada 7,500rpm dan tork setinggi 31.5 Nm pada 5,250 rpm.
Enjin yang memenuhi piawaian Euro 5 itu boleh ditunggang sejauh melebihi 340km dengan kapasiti tangki sebesar 11.5 liter. Tahap penggunaan bahan apinya boleh mencecah 29.4km bagi satu liter.
Praktikalitinya boleh dilihat di bawah tempat duduk boleh diisi dengan dua topi keledar penutup penuh, pengecas USB di bahagian glovebox dan dilengkapi Kunci Pintar.
Reka bentuknya, boleh dikatakan hampir sama dengan X-ADV selepas dilengkapi unit lampu LED berkembar, cermin penghadang angin boleh laras empat cara, serta tayar bersaiz 120/70 R15 di depan, manakala belakang menggunakan 140/70 R14.
Ketinggian pelana adalah 795 mm dengan jarak kelegaan tanah setinggi 145 mm. Sistem suspensi hadapan menggunakan fork terbalik 37mm dengan penyerap hentak berkembar di bahagian belakang.
Sistem kuasa hentiannya pula dibantu brek cakera 256 mm depan, manakala belakang bersaiz 240 mm.
Warnanya pula, ia ditawarkan dengan pilihan perak, kelabu dan merah. Buat masa ini, harga jualan rasmi belum didedahkan oleh pihak Honda.
Seperti biasa untuk pasaran Malaysia, mungkin ambil masa untuk tiba di negara ini. Mungkin selepas dilancarkan di Indonesia, Thailand, baru masuk pasaran Malaysia.