Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan itulah dibuktikan oleh pasangan tempatan, Mohd Alfishahrin dan Diana Ann selepas mengelilingi dunia hanya dengan menunggang motosikal kapcai sahaja.
Mohd Alfishahrin menggunakan laman sosial Facebook, Instagram dan mendapat sambutan selepas memuat naik video di TikTok @kapcaipackers dengan perkongsian momen kembaranya bersama isteri.
Pasangan tersebut menggunakan motosikal Honda RS150R Repsol Edition dengan mengembara beribu-ribu kilometer bermula dari Klang sehingga ke benua Eropah dalam masa 146 hari dan merentas lebih 20 negara.
Antaranya termasuklah Thailand, Myanmar, India, Nepal, Pakistan, Turki, Armenia, Georgia, Greece, Mentenegro, Croatia, Bosnia dan Herzegovina, Belanda, Belgium, Austria, Switzerland, Itali, Jerman, Perancis dan ke destinasi terakhir iaitu London, United Kingdom.
Pada 2015, Alfishahrin pernah menunggang secara solo ke 1,000 Corner di Chiang Mai, Thailand dan ini diikuti dengan misi solo ke tujuh sempadan negara iaitu Thailand, Myanmar, Laos, China, Vietnam, Kemboja dan Singapura pada 2016.
Berdasarkan perkongsiannya, buat masa ini misi #RideToLondon merupakan pencapaian terbesar dalam hidup mereka selepas berhajat meraikan Hari Kebangsaan Malaysia di kota London dan berjaya sampai sana tepat pada tarikh 31 Ogos 2017 sempena Hari Kemerdekaan yang ke-60.
Selain itu, pada 2018 misinya adalah ke Piala Dunia di Rusia dan pada 2019 misi bantuan bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) ke Syria hanya menggunakan kapcai.
Mohd Alfishahrin yang merupakan seorang runner dari Klang berkata dia berhasrat untuk memulakan kembaranya pada tahun hadapan, sekiranya ada peluang dan kesempatan.
“Idea untuk menggunakan kapcai ni, pertamanya kerana ia menjimatkan kos. Saya juga nak membuktikan, walaupun guna kapcai, atau apa kenderaan sekali boleh sampai juga. Syaratnya, semangat dan mental kena kuat.
“Saya berimpian nak sambung menakluk Eropah sebab masih ada lagi negara yang belum sempat takluk dengan jalan darat,” kata Alfishahrin.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar