2,000 tempahan diterima, ini 6 perkara perlu anda tahu tentang City Hatchback!

1600

Honda Malaysia rasmi memperkenalkan City Hatchback ke pasaran tempatan menerusi tagline A Step Above (Selangkah Ke Depan).

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Madoka Chujo berkata, Honda Malaysia mencipta satu lagi sejarah penting dengan menawarkan model City yang popular dalam bentuk sebuah hatchback. 



“Ia akan menjadi sebuah model yang akan menetapkan trend menerusi teknologi termaju yang pertama dalam segmennya, ciri-ciri premium, versatiliti konfigurasi ULTRA Seats dan yang paling penting sangat seronok dipandu.

“Saya juga berbesar hati untuk mengumumkan bahawa setakat hari ini kami sudah menerima sebanyak 2,000 unit tempahan City Hatchback,” katanya. 

REKAAN KONSEP ENERGETIC HATCHBACK

Dari segi penampilan, City Hatchback direka dengan konsep ‘Energetic Hatchback’ agar tampil aktif, bergaya dan versatil. Rekaan luaran ‘RS’ yang eksklusif pada hatchback ini memberikannya gayaan sporty untuk varian RS e:HEV.

Varian tertinggi itu menerima kemasan hitam berkilat pada gril depan, solid wing hitam dan perumah cermin sisi untuk memberikan ekspresi warna badan dua tona.

Ia juga tampil dengan rekaan RS e:HEV yang eksklusif menerusi gril bawah, perumah lampu kabus dan bampar belakang. Kesemua sistem pencahayaan pada varian RS e:HEV dan V didatangkan dengan ciri LED. Selain itu, kedua-duanya ditawarkan dengan rim aloi 16-inci. 

JANAKUASA

Dari segi prestasi pula, City Hatchback dilengkapi dengan teknologi e:HEV Honda untuk varian RS. Dijana oleh rangkaian kuasa 1.5L Sports intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) dan dipadankan dengan transmisi Electric Continous Variable Transmission (e-CVT).

Sistem hibrid 2-motor Honda yang unik dan canggih boleh bertukar antara tiga mod pemanduan iaitu Pacuan EV, Pacuan Hibrid dan Pacuan Enjin secara bergilir-gilir dengan penuh kecekapan bergantung kepada kondisi pemanduan.  

Bagi varian Petrol V, E dan S menggunakan enjin 1.5L DOHC i-VTEC yang mampu menjana kuasa sebanyak 121PS, paling tinggi dalam segmennya dan tork maksimum 145Nm. Enjin yang efisien ini menawarkan keseimbangan ideal antara prestasi pemanduan yang menyeronokkan dan penjimatan bahan api.

LEBIH KUKUH DARIPADA ENAM PERATUS

Selain itu, pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) Honda membina  ketegaran badan City Hatchback yang mana enam peratus lebih kukuh berbanding Jazz bagi menawarkan kerangka yang berketegaran tinggi.

Untuk memberikan kabin yang lebih senyap, tiang A dan B City Hatchback diisi dengan semburan busa polyurethane. Selain itu, bahan penyerap bunyi dengan pelbagai ketebalan dipasang pada bahagian bawah ruang enjin untuk mengurangkan bunyi dan getaran. 

KABIN 

Ruang dalaman  menawarkan gayaan yang sofistikated menerusi penggunaan tekstur yang berkualiti tinggi, penuh fungsi dan praktikal.

Kabin varian RS e:HEV hadir dengan tempat duduk Ultrasuede bersama jahitan benang merah serta paparan kluster meter (TFT) interaktif berukuran 7-inci dan corong pendingin hawa belakang. 

Manakala varian V didatangkan dengan tempat duduk kulit. Selain itu, varian RS e:HEV, V dan E dilengkapi paparan audio berukuran 8-inci yang boleh dipadankan bersama Apple CarPlay dan Android Auto selain panel pendingin hawa automatik serta dua port USB pada bahagian bawah poket. 

Satu lagi ciri canggih yang menetapkan penanda aras dalam hatchback segmen B ialah brek parkir elektrik pada varian RS e:HEV. Pemilik varian RS e:HEV, V dan E juga boleh menghidupkan enjin serta pendingin hawa dari jauh sebelum masuk ke dalam kabin melalui ciri penghidup enjin kawalan jauh.

KERUSI ULTRA

Sama seperti Jazz, kerusi ULTRA turut ditawarkan pada City Hatchback. Empat mod ULTRA  boleh dikonfigurasi menjadi mod Utility, Long, Tall atau Refresh. Pemilik boleh menukar mod konfigurasi tempat duduk untuk kegunaan yang berbeza dengan mudah dan pada masa sama menggunakan kapasiti but seluas 289 liter. 

CIRI KESELAMATAN

Pertama dalam kelasnya, City Hatchback menampilkan ciri Honda LaneWatch pada varian RS e:HEV dan V. Teknologi keselamatan berasaskan kepada kamera itu memantau kehadiran kenderaan pada bahagian kiri kereta dan mengurangkan titik buta menerusi visual yang dipaparkan secara langsung pada sistem infohibur.

Varian City Hatchback RS e:HEV juga hadir dengan ciri keselamatan termaju yang paling lengkap dalam segmennya iaitu Honda Sensing. Senarai sistem bantuan keselamatan pemandu di dalam Honda Sensing termasuklah: 

  • Kawalan Pemanduan Adaptif 
  • Sistem Brek Mitigasi Pelanggaran 
  • Sistem Amaran Pelanggaran Depan
  • Sistem Bantuan Kekal Lorong 
  • Sistem Mitigasi Keluar Dari Jalan 
  • Amaran Keluar Lorong 
  • Lampu Tinggi Auto 

Sebagai tambahan, City Hatchback  hadir dengan beberapa ciri keselamatan standard yang lain seperti:

  • Bantuan Kestabilan Kenderaan
  • Sistem Brek Anti-Kunci
  • Agihan Brek Elektronik
  • Bantuan Brek
  • Amaran Berhenti Kecemasan
  • Bantuan Mula Mendaki
  • Isofix

Varian RS e:HEV dan V dilengkapi dengan 6 beg udara. Varian RS e:HEV juga menerima ciri tambahan Auto Brake Hold yang memberi lebih kemudahan kepada pemandu ketika dalam situasi trafik bergerak dan berhenti.

City Hatchback merupakan model kedua Honda Malaysia selepas City Sedan RS e:HEV yang menampilkan Honda Connect, satu teknologi inovatif termaju yang menjamin aspek keselamatan, sekuriti dan kemudahan.

Buat pertama kali dalam segmennya, rangkaian penuh sistem telematik ada ditawarkan pada model ini. Dengan mengaplikasikan Teknologi Telematik pintar,  Honda Connect membolehkan pengguna berhubung dengan kereta mereka menerusi satu sentuhan pada aplikasi telefon bimbit.

Fungsi-fungsi utama teknologi Telematik pada Honda Cnnect termasuklah Diagnostik Kenderaan, Aplikasi Jarak Jauh, Aplikasi Keselamatan, Pemantauan Kenderaan dan Perkhidmatan Sokongan – semua ini bertujuan untuk memudahkan akses pemilik ke atas kenderaan dan maklumatnya pada setiap masa.  

GALERI

VARIAN V

RS

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here