Kenderaan hibrid elektrik pertama yang dipasang oleh UMW Toyota Motor dalam negara ini menerusi Toyota Corolla Cross Hibrid bakal dilancarkan pada masa terdekat.
Model itu kini dalam peringkat pra-produksi di ASSB, kilang pemasangan UMW Toyota Motor di Bukit Raja, Selangor.
Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama berkata, sejak membuka tempahan untuk Corolla Cross Hybrid, maklum balas yang diterima adalah baik dan pihaknya gembira melihat ramai rakyat Malaysia berhasrat untuk beralih ke Teknologi Kenderaan Hibrid Elektrik.
“Toyota mengeluarkan kenderaan hibrid elektrik sejak akhir 1990-an dan sentiasa menambah baik serta memajukan teknologi agar rakyat Malaysia menerima manfaat hasil daripada eksperimen yang panjang ini,” katanya.
Harga Corolla Cross Hybrid baru dijangka bermula dari RM137,000 (tidak termasuk insurans) dan dengan waranti kilang lima tahun/tanpa had perjalanan.
Selain itu, untuk memberi ketenangan minda, ada lagi jaminan 8 tahun/tanpa had perjalanan untuk bateri, pemabalik (converter) dan Unit Kawalan Pengurusan Kuasa.
Pelanggan juga boleh melanjutkan waranti selama dua tahun lagi, seterusnya menjadikan tempoh waranti selama 10 tahun. Ini adalah kali pertama waranti sebegini disediakan dalam industri tempatan.
Tempahan boleh dibuat melalui mana-mana pengedar sah Toyota atau pusat pameran UMW Toyota Motor di seluruh negara.
Sebelum ini, UMW Toyota melancarkan Corolla Cros sekitar Mac lalu menerusi tawaran enjin 1.8 liter NA empat-silinder petrol yang menghasilkan kuasa 139PS dan tork 172Nm bersama transmisi CVT.
Corolla Cross Hybrid pula dilengkapi enjin 1.8 liter kitaran Atkinson empat-silinder petrol (98PS/142Nm) dan motor elektrik (72PS/163Nm) yang mana output keseluruhannya adalah 122 PS.
Kuasa disalurkan ke roda depan menerusi e-CVT. Sementara, Corolla Cross Hybrid sudah mula dijual di Thailand, Indonesia, Filipina dan Vietnam.