Mazda secara rasmi memperkenalkan Mazda2 Hybrid untuk pasaran Eropah, dimana model ini dibangunkan berasaskan dengan rekaan asal Toyota Yaris yang telah ditukarkan lencananya kepada Mazda.
Sebelum ini Toyota pernah menggunakan platform Mazda2 untuk model hatchback Yaris yang dijual di pasaran Amerika Syarikat, sebelum penjualannya dihentikan selepas model tahun 2020.
Mazda dilihat tidak perlu bersusah payah mengeluarkan model hatchback mini hybrid pertamanya, sekali gus memberikan lebih pilihan bagi barisan model hibrid penuh di Jepun. Untuk pasaran Eropah terdapat tiga varian ditawarkan iaitu Pure, Agile dan Select.
Mazda2 Hybrid turut menggunakan penjana kuasa yang sama dengan Toyota, dengan gabungan enjin 1.5 liter tiga-silinder yang mampu menghasilkan 91 hp dengan motor elektrik berkuasa 79 hp, serta penggunaan bateri lithium-ion.
Secara keseluruhannya, sistem ini mampu menghasilkan kuasa setinggi 115 hp, yang mampu memecut dari 0-100 km/j dalam 9.7 saat dan boleh mencapai kelajuan tertinggi hingga 175 km/j.
Kombinasi penggunaan bahan api serendah 3.8 liter/100 km mengikut protokol ujian WLTP, Mazda2 Hybrid mencapai standard pelepasan emisi CO2 yang ditetapkan dengan pelepasan CO2 sekitar 87 g/km, bergantung pilihan saiz roda dan angka itu hampir sama yang direkodkan untuk Yaris Hybrid iaitu 86 g/km.
Selain daripada logo Mazda dan emblem Mazda2 di hadapan dan belakang, dari segi dimensi, ia tidak banyak berubah, dengan panjang sekitar 3,940 mm, serta jarak antara roda sepanjang 2,550 mm sekali gus memberikan ruang penyimpanan barangan sedikit besar.
Mazda2 Hybrid 2022 akan menyertai barisan model elektrifikasi Mazda yang lain termasuk Mazda 3 dan CX-30 bagi versi mild-hybrid, yang dijangka akan mula memasuki pasaran pada musim bunga tahun hadapan.
GALERI
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar