Model yang anda lihat ini dinamakan Macrobat, PAV (Kenderaan Udara Peribadi) elektrik penuh yang unik. Idea kereta terbang burung itu daripada pasukan penyelidikan dan pereka asal Afrika.
Diperkenalkan pada pertengahan November, projek itu dalam proses mengumpul dana bagi membangunkan kajian dan membina prototaip pertama.
Menurut Phractyl, pembangunan kereta terbang itu berpandukan kepada bentuk burung yang mana boleh mendarat dan berlepas atas apa jua permukaan bumi serta memudahkan akses kepada lokasi yang terpencil dan sukar dijangkau.
Macrobat bukan hanya menerbangkan penumpang keluar dari safari bahkan ia boleh membawa kargo, kakitangan khas, dan berfungsi sebagai kenderaan kecemasan, pesawat pemeriksaan infrastruktur, atau sebagai pesawat penyembur tanaman.
Reka bentuk kereta terbang itu seperti seekor burung mekanikal dalam filem fiksyen sains. Ia berdiri di atas dua kaki burung mekanikal yang membolehkan operasi berlepas dari semua jenis permukaan dan menawarkan tolakan awal.
Rekaan kenderaan tersebut kelihatan seperti seekor burung gergasi dan mempunyai sayap serta ‘kaki’ sama seperti haiwan berkenaan. Ia juga boleh diterbangkan oleh manusia atau menggunakan alat kawalan jauh sama seperti drone.
Macrobat itu dikatakan mampu membawa berat muatan sehingga 150kg dan terbang sejauh 150km dengan kelajuan maksimum 180kmj.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar