Sebelum ini, Isuzu Malaysia pernah menguji trak pikap menerusi Isuzu D-Max dari Bangkok, Thailand ke Kuala Lumpur dengan hanya satu tangki dan turut memecah rekod itu selepas memandu dari Bangkok ke Singapura pada 2015.
Mungkin ada yang tidak percaya, tetapi itulah hakikat sebenarnya bahawa Isuzu D-Max mampu memandu sejauh itu kerana ia memiliki kelebihan dari segi penjimatan bahan api.
1,000km Setangki Minyak
Justeru itu, penulis mahu mahu mencubanya sendiri dengan memandu uji varian baharu Isuzu D-Max menerusi Auto Plus 4×2 1.9L. Varian itu disasarkan untuk pengguna yang mahukan sebuah model yang sesuai untuk kegunaan urban.
Dengan berbekal satu tangki penuh, jentera ini mampu dipandu melebihi 1,000 kilometer dari Tol Gombak ke Kampung Wakaf Tok Wali, Kota Bharu, Kelantan diikuti Pasir Akar, Jertih, Terengganu, Kuala Terengganu, Terengganu dan terus ke Tol Gombak.
Biarpun tiba di Tol Gombak dengan tanda amaran minyak sudah bernyala, ia masih lagi boleh dipandu hampir 150km untuk ke stesen minyak.
Kelajuan purata antara 90-100km/j untuk jalan persekutuan, manakala di lebuh raya dipandu antara 110-130kmj.
Saksikan video ini, bagi perjalanan penulis cabaran 1,000km dengan setangki minyak untuk Isuzu D-Max Auto Plus 4×2 1.9L.
Isuzu D-Max Auto Plus 4×2
Varian D-Max Auto Plus 4×2 1.9L ini hanyalah seberat 1,830 kg, atau 85 kg lebih ringan berbanding model pacuan 4×4 biasa.
Ia masih lagi mengekalkan enjin diesel turbo 1.9 liter RZ4E-TC dengan menghasilkan 150 PS dan tork setinggi 350 Nm antara 1,800sehingga 2,600rpm. Kuasa itu disalurkan ke roda belakang sahaja menerusi transmisi automatik enam nisbah kelajuan.
Antara ciri standard yang ada varian itu membabitkan lampu utama projektor Bi-LED, lampu DRL LED, lampu kabus, jeriji kelabu kesat serta dipadankan rim aloi 17 inci dengan tayar 255/65 R17. Bagi membezakannya ia turut dihiasan pelekat 4×2 Auto Plus pada bahagian belakang.
Bagi ruang kabinnya, tempat duduk dibaluti material fabrik hitam dengan padanan skrin multimedia bersaiz tujuh inci yang turut memaparkan paparan kamera undur.
Harganya dijual bermula RM100,999.20 atas jalan tidak insurans dan ditawarkan dengan lima pilihan warna membabitkan putih, perak, biru, jingga dan hitam.