Menurut Persatuan Industri Am Malaysia (PIAM), industri insurans am berdepan dengan tuntutan yang dianggarkan antara RM2 bilion hingga RM3 bilion akibat banjir baru-baru ini.
Anggaran itu termasuk tuntutan persendirian dan komersial yang berpotensi dan sebenar, berpunca daripada banjir kilat selain musim tengkujuh yang akan datang dalam beberapa minggu serta bulan nanti.
Sebagai tambahan kepada jumlah pembayaran tuntutan, industri insurans am turut menghulur bantuan dengan menyumbang RM2.43 juta kepada Dana Bantuan Banjir @ Dis 2021 yang baharu ditubuhkan sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) menyokong komuniti permotoran yang terjejas.
Inisiatif industri insurans am ini akan melebihi komitmen sedia ada oleh penanggung insurans sejak bencana banjir berlaku, iaitu mempercepatkan penyelesaian tuntutan, menyediakan langkah bantuan khas tambahan, dan bantuan ‘ad hoc ex-gratia‘ selanjutnya, seperti yang ditentukan oleh penanggung insurans am individu.
Bantuan CSR ini pada awalnya adalah dalam bentuk subsidi ke arah pembersihan di bengkel untuk kenderaan yang terjejas, bagaimanapun subsidi ini dihadkan sekali beri bagi setiap kenderaan sebanyak RM500 untuk kereta atau kenderaan perdagangan dan RM100 untuk motosikal.
Pihak yang menuntut perlu mengemukakan bukti diperlukan mengenai kerosakan banjir pada kenderaan mereka dan bukti perlindungan insurans terdahulu.
Kenderaan terbabit mestilah sama ada diinsuranskan pada masa ini (sebarang jenis polisi motor dengan atau tanpa perlindungan banjir adalah layak) atau kenderaan yang kali terakhir diinsuranskan pada 1 Jun 2021.
Pada peringkat ini, dana akan ditutup sebaik sahaja jumlah yang dicagarkan sebanyak RM2.43 juta sudah habis digunakan.
Selaras dengan objektif CSR itu, PIAM mengalu-alukan sumbangan daripada pihak atau industri lain terhadap Tabung Bantuan Banjir yang akan memanjangkan hayat dana itu dan seterusnya membantu lebih ramai pemandu yang terjejas.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar