Rata-rata individu pasti pernah berdepan dengan masalah kenderaan berbau busuk disebabkan hapak kasut, bau buah -uahan atau tumpahan makanan dan minuman.
Biarpun selepas dicuci kadangkala aroma yang kurang menyenangkan itu masih melekat. Justeru itu, bagi mengatasi masalah bau yang bersisa selain membuka tingkap semasa memandu atau menyembur wangian kenderaan anda juga boleh menggunakan beberapa kaedah mudah dan murah.
Antaranya ialah:
-
Roti
Letakkan beberapa keping roti putih beralaskan tisu atau plastik di atas permukaan dashboard, ruang menyimpan botol minuman atau di atas kerusi kenderaan.
Biarkan semalaman kerana roti ini boleh menyerap bau yang kurang menyenangkan termasuk bau durian atau cempedak secara berkesan.
-
Daun pandan
Ikatkan tiga atau empat helai daun pandan dan letakkan di bawah tempat duduk atau ruang yang terdapat di setiap pintu kenderaan. Keharuman daun pandan membantu mengatasi masalah bau khususnya bau hapak kasut.
Selain itu, anda juga boleh menggunakan potpuri kombinasi bunga-bunga kering yang mengeluarkan aroma lembut dan segar.
-
Kopi
Letakkan tiga sudu teh serbuk kopi asli di dalam plastik kecil tanpa perlu mengikatnya. Letakkan di mana-mana ruang di dalam kenderaan. Selepas dua atau tiga hari bau busuk itu akan hilang.
-
Arang
Ambil beberapa ketul arang dan letakkan di atas lantai kereta atau ketulan arang dibungkus menggunakan tisu lalu dibiarkan di kawasan yang berbau.
-
Lemon
Dua hirisan lemon memadai untuk wangikan dalaman kereta. Letakkan dalam kereta serta buka sedikit tingkapnya supaya udara yang masuk itu akan bertindak balas. Hirisan lemon itu akan menghasilkan bau yang harum dan pasti bau yang hapak akan hilang serta merta.
-
Kulit kayu manis
Rebuskan sekurang-kurang 2 batang kulit kayu manis dan tuangkan air rebusan tersebut ke dalam cawan atau bekas yang terbuka. Kemudiannya letakkan air rebusan tersebut dalam kereta dengan tingkap yang tertutup ketika kereta tidak bergerak dalam masa lama.
Cara dan petua di atas pasti akan membantu anda untuk menghilangkan segala bau busuk dan hapak dalam kereta anda malahan dengan bau yang wangi juga akan menyegarkan pernafasan anda ketika berada dalam kereta.
Masalah kenderaan berbau busuk sebenarnya berpunca dari sisa makanan biasanya, jadi disebabkan perkara itu, anda harus mengelakkan makan ketika berada dalam kereta sekiranya anda inginkan keselesaan sewaktu memandu.