#TahukahAnda: Kerajaan pernah miliki Feri Malaysia hubungkan Semenanjung dan Borneo

6512
Bagi generasi Y dan Z mungkin tidak tahu tentang kewujudan Feri Malaysia yang menghubungkan Semenanjung Malaysia dan Borneo. 
 
Ini kerana feri persiaran itu wujud pada zaman generasi X iaitu mereka yang lahir selepas era 60-an. Idea feri tersebut diperkenalkan setahun selepas Tun Dr Mahathir memegang jawatan sebagai Perdana Menteri iaitu sekitar 1982.

FILEM MR 0S

Matlamatnya bagi menyediakan perkhidmatan pengangkutan alternatif yang menghubungkan rakyat Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak. Idea itu juga berdasarkan kejayaan perkhidmatan feri di negara seperti Finland, Norway dan Denmark.
 
Jika anda peminat filem-filem era 80-an, masih ingatkah lagi dengan filem komedi Mr Os?, yang mana beberapa babak dalam filem tersebut dirakamkan dalam Feri Malaysia atau nama rasminya Cruise Muhibbah
 
Sekiranya anda masih ingat babak yang paling mencuit hati ketika seorang pondan menggoda Os di dalam bilik kapal dengan skrip ‘tulen…bang’. Babak lain yang turut dirakamkan dalam feri tersebut antaranya di kolam renang, kelab malam dan restoran. 
 
Jom, kita imbau perjalanan feri pertama Malaysia ini. Setelah beberapa kajian dilakukan, pada 1984 sebuah syarikat dengan nama Feri Malaysia Sdn Bhd ditubuhkan bagi mengendalikan projek kapal persiaran berkenaan.
 
Setelah mendapat kelulusan jemaah menteri pada November tahun tersebut, pembelian kapal dari Helsinki, Finland dimulakan. Ia disiapkan selepas dua tahun (1986) dengan ubah suai dan naik taraf kelas pertama yang pernah dilakukan bagi kapal persiaran.

PENGHANTARAN DARI FINLAND

Penghantaran Feri Malaysia mengambil masa sebulan dari Finland sebelum tiba di Pelabuhan Klang pada 6 Ogos 1986. Penghujung bulan lebih tepat pada Hari Kemerdekaan, Feri Malaysia memulakan perkhidmatannya.

Pelancaran dilakukan Sultan Pahang ketika itu, Sultan Ahmad Shah di Pelabuhan Kuantan. Perjalanan pertama bermula dari Pelabuhan Kuantan ke Kuching, Sarawak dan seterusnya ke Kota Kinabalu, Sabah.



Bagaimanapun, perkhidmatan feri tersebut tidak lama apabila berlakunya tragedi kebakaran ruangan enjin utama ketika hampir tiba di Kuantan. Difahamkan ketika kejadian terdapat kira-kira 300 penumpang dan 40 kenderaan. 

Namun kesemua penumpang berjaya diselamatkan dua buah kapal kargo dan tangki minyak.

Menurut laporan akhbar New Straits Times, tragedi 18 Oktober 1987 itu disebabkan keadaan kapal yang sudah berusia 16 tahun.

Akhirnya selepas tahun 1989, perkhidmatan Feri Malaysia ini tiada lagi beroperasi kerana dikatakan kos operasinya terlalu tinggi berbanding dengan keuntungan yang didapatinya.

Sayangnya, selepas 1989 operasi Feri Malaysia dihentikan susulan kos operasi yang tinggi  berbanding keuntungan yang diperoleh.

Selepas penamatan servis tersebut, rakyat  tidak mempunyai pilihan lain selain kembali menggunakan kapal terbang merentasi Laut China Selatan.

Spesifikasi Feri Malaysia:

Berat: 7,900 tan
Panjang: 134 meter
Jumlah dek: 7 buah
Muatan penumpang: 600 hingga 650 orang 
Muatan kenderaan: 240 buah kereta atau 40 buah lori (40 kaki panjang)
Laluan perjalanan: Kuantan (Pahang) – Kuching (Sarawak) – Kota Kinabalu (Sabah)
Tempoh perjalanan: 2 hari (Kuantan ke Kota Kinabalu)
Buatan: Helsinki, Finland
Harga: RM23.9juta
Kelajuan: 19 batu nautika
Kemudahan: Restoran, kafeteria, kolam renang, bar, disko, bilik mesyuarat, kabin (tempat tidur, maksimum 4 orang dalam seunit), surau dan lain-lain.
 
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar
 
 
 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here