Industri automotif berevolusi dari masa ke semasa bukan saja dari segi teknologi bahkan juga reka bentuk.
Bagaimanapun tidak semua penampilan reka bentuk yang dihasilkan oleh pereka kereta boleh diterima oleh pengguna sehingga melabelnya sebagai kereta pelik.
Namun, tidak semua inovasi tersebut berakhir dengan kejayaan. Berikut lima reka bentuk kereta pelik pernah dihasilkan.
1. Ferrari 512S Modulo
Produk Ferrari merupakan barisan jentera supercar yang garang menerusi reka bentuk signatur jenama Itali tersebut. Namun, ada satu model yang pernah dihasilkan Ferrari yang kelihatan seperti sebuah UFO.
Model konsep itu dinamakan sebagai 512S Modulo yang diperkenalkan di Geneva Motor Show (1970). Rekaannya yang dianggap futuristik ketika itu, hanya digunakan di jalan raya selepas 48 tahun diperkenalkan.
Rekaan Paolo Martin itu menggunakan bumbung gelas acah kanopi yang ditolak ke sisi untuk membolehkan pemandu masuk ke bahagian kabin.
2. Tasco 1948
Kereta yang diinspirasikan oleh pesawat pejuang Perang Dunia Kedua ini diberi nama Tasco, singkatan daripada The American Sports Car Company dan hasil ciptaan Gordon Buehrig.
Jika dilihat pada setiap roda, terdapat penutup yang diperbuat daripada gentian kaca, yang akan bergerak seiring dengan roda apabila sterengnya dipusing. Pelik bukan?, sayangnya syarikat kereta ini tidak bertahan lama.
3. Venturi Eclectic
Kereta elektrik autonomi urban yang pertama ini diperkenalkan pada 2006 yang mana inspirasi rekaannya seolah sebuah kereta golf atau buggy. Model itu dilengkapi dengan panel solar dan turbin angin untuk menjana kuasa.
Model asal Perancis yang diperkenalkan pada Paris Motor Show ini didatangkan dengan tiga kerusi dengan bentangan bentuk V dan hanya mampu bergerak sejauh 50km.
4. General Motors Firebird 1 XP-21 (1953)
Sekali imbas model ini kelihatan sebuah peluru berpandu namun difahamkan reka bentuknya diinspirasikan daripada kapal terbang pejuang. Ia didatangkan dengan empat roda seperti kereta biasa dan bumbung kaca yang gelembung.
Model itu dikuaskan oleh turbin gas Whirlfire Turbo Power (370hp), yang memiliki dua kelajuan dan mengeluarkan ekzos jet apabila mencapai suhu 677C.
Selepas Firebird 1, pengeluar turut memperkenalkan siri Firebird 2 dan Firebird 3 khas untuk pertunjukkan kereta Motorama. Bagaimanapun, model itu hanya didatangkan dengan satu kerusi saja.
5. Stout Scarab (1936)
Stout Scarab tahun 1936 muncul pada awal era 30-an menggunakan enjin Ford V-8. Manakala bahagian badan yang kelihatan seakan robot menggunakan material aluminium.
Perekanya Willam Stout merupakan jurutera pesawat dan kereta berkenaan menggabungkan kemewahan dan keselesaan seperti ruangan pesawat.
Model itu kurang mendapat sambutan kerana harganya yang terlalu mahal. Difahamkan hanya kurang daripada 10 unit dihasilkan oleh pengeluar.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar