Akhirnya, Honda Civic generasi ke-11 dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia yang ditawarkan kepada tiga varian membabitkan E, V dan RS.
Namun tahukah anda, di mana kelebihan Civic generasi ke-11 ini berbanding model sebelumnya.
Bagi mengupas lanjut berhubung model baharu itu, Motoqar bersama media lain diberi peluang oleh Honda Malaysia untuk menemuramah Ketua Projek Honda Civic Generasi ke-11, Tomoyuki Yamagami dalam talian semalam.
Pengendalian lebih baik
Yamagami berkata, penanda aras dari segi pengendalian dibuat perbandingan dengan beberapa segmen C yang lain seperti Mazda 3, selain kenderaan segmen lebih atas membabitkan Audi A3 dan A4.
“Kami menfokus kepada pengendalian dan menerima maklum balas yang baik di beberapa negara di mana Civic generasi ke-11 dilancarkan,” katanya.
Yamagami berkata, jarak roda Civic generasi ke-11 itu lebih panjang 35 milimeter untuk memberi kestabilan yang dinamik serta pengayaan.
Menurutnya, Civic baharu itu adalah model global dan pihaknya menjalani ujian di negara Eropah yang mana kestabilan kenderaan sangat diutamakan.
“Jadi struktur badan dengan memanjangkan jarak roda mampu meningkatkan kestabilan kenderaan, tetapi pada masa sama ketangkasan stereng turut dinaik taraf untuk memberi pengendalian lebih baik.
“Biarpun jarak roda itu lebih panjang 35 mm, tiada perbezaan dari segi ruang kelegaan kaki dengan model generasi sebelum ini.
“Bagaimanapun, tempat duduk belakang lebih condong satu darjah berbanding Civic sebelum ini bagi menawarkan keselesaan yang lebih baik,” katanya.
Dimensi Civic generasi ke-11 kini lebih panjang 48 milimeter (mm) menjadikan ia 4,678, penambahan jarak roda sehingga 35 mm (2,735 mm) dan ia lebih rendah 1 mm (1,415mm).
Output enjin lebih tinggi
Ketika ditanya mengapa output Civic generasi ke-11 lebih tinggi berbanding model sama di Thailand, Yamagami berkata, ia berpunca daripada penggunan bahan api berbeza iaitu E85, selain penukaran komponen dalam pengecas turbo.
Menurutnya, faktor itu menyumbangkan peningkatan kuasa maksimum dan tork, selain meningkatkan tindak balas pengecas turbo serta pengalaman pemanduan.
“Pada masa sama, kami juga menukar crankshaft (aci engkol) dan oil pan untuk mengurangkan kadar NVH (kebisingan, getaran dan kekasaran).
“Kami menfokuskan untuk NVH yang lebih baik terutama kelajuan dan rpm rendah ketika pemanduan di bandar,” katanya.
Untuk makluman, biarpun masih menggunakan enjin 1.5 liter VTEC turbo, outputnya meningkat sehingga 9PS menjadikan 182PS, manakala tork mencecah 240Nm iaitu peningkatan 20Nm berbanding model terdahulu.
Pada masa sama, ia turut mempunyai tiga mod pemanduan iaitu Econ, Normal dan Sport.
Karakter CVT berubah mengikut pemanduan
Yamagami turut memaklumkan banyak perubahan dilakukan pada sistem CVT dengan menukar perisian untuk memberi tindak balas lebih baik untuk pemanduan, selain karakter transmisi akan berubah mengikut kesesuaian pemanduannya.
“Seperti pandu uji media di Litar Antarabangsa Sepang baru-baru ini, sistem kenderaan boleh mengesan memandu di litar dengan mengubahkan tetapan CVT untuk ambil selekoh lebih optimum.
“Perubahan tetapan CVT itu dikesan menerusi sensor ABS dengan penggunaan brek selepas beberapa pusingan di litar,” katanya.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar