Jenama motosikal tertua di dunia, Royal Enfield kini melantik Didi Automotive Sdn Bhd sebagai rakan pengedar rasmi motosikal jenama tersebut di Malaysia.
Didi Resources juga merupakan pengedar rasmi motosikal Harley-Davidson, Vespa, Moto Guzzi dan Aprilia di pasaran tempatan.
Didi Automotive mengambil alih hak pengedaran Royal Enfield untuk pasaran Malaysia daripada SNH Bhumi Corporation berkuat kuasa serta merta.
Menurut Pengerusi Didi Group, Rewi Hamid Bugo, pihaknya berbangga dapat bekerjasama dengan salah satu jenama motosikal tertua di dunia tersebut.
“Kami berazam untuk meningkatkan lagi kehadiran jenama Royal Enfield di setiap negeri di Malaysia, serta memberikan pengalaman pemilikan yang terbaik dari segi jualan, selepas jualan serta tunggangan.
Ketua Perniagaan Pasaran Asia Pasifik (APAC) Royal Enfield, Vimal Sumbly berkata Malaysia merupakan pasaran penting untuk pengeluar motosikal jenama United Kingdom itu, dan tumpuan khusus akan diberikan kepada segmen pertengahan (middleweight).
“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Didi Automotive untuk pasaran strategik ini. Kami yakin kejayaan dan kepakaran mereka yang telah terbukti di rantau ini akan bersinergi dengan baik dengan jenama dan pengalaman produk Royal Enfield.
“Dengan tumpuan pada segmen pertengahan, kami yakin Classic 350 baharu akan memacu pertumbuhan dan cita-cita kami,” katanya.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar