Perlu pandu 483km semata beli barang keperluan, dah macam KL ke Kedah

11173

Pernahkah anda terfikir perlu memandu sejauh 483km hanya untuk membeli barangan keperluan dan kadang kala bermalam di bandar berkenaan.

Menerusi sebuah video perkongsian akaun Facebook HuffPost, seorang wanita berpindah ke Beaver Creek, Kanada selepas pasangannya mendapat pekerjaan baru di sana.



Bagaimanapun antara cabaran tinggal di kawasan pedalaman terutamanya ketika musim sejuk adalah mendapatkan bekalan makanan. Disebabkan lokasi kedai runcit yang jauh mereka perlu memandu selama lima jam untuk perjalanan sehala. 

Bahkan menurut pencerita video itu pasangan tersebut perlu bergerak dari Beaver Creek, Kanada, bahagian komuniti paling barat menuju ke Whitehorse iaitu satu-satunya bandar di wilayah Yukon tersebut.

Perjalanan itu melibatkan sehari waktu siang pada musim sejuk untuk membeli barangan keperluan dan kebanyakan perjalanan tersebut tanpa capaian signal telefon. 

BERMALAM DI BANDAR

Menerusi video berdurasi 3 minit 28 saat itu wanita itu juga berkongsi situasi berkenaan bukan saja perlu dihadapi oleh mereka bahkan seluruh warga di lokasi tempat tinggalnya bahkan penduduk sekitar Yukan.

“Pertama kali datang ke sini kami menggunakan sedan kecil Chevy Cruze dan kini kami menaiktaraf kepada SUV kerana perlu membeli barangan keperluan yang banyak.

“Ketika kami pindah ada penduduk yang cakap tak lama lagi kami perlu tukar kereta dan kini saya faham maksud mereka,” katanya ketawa kecil.

Tambahnya, penduduk akan membeli stok keperluan harian minimum empat minggu atau jarak maksimum 12 minggu.

“Namun ia agak sukar jadi penduduk akan membeli semula stok keperluan secara purata enam hingga lapan minggu. 

“Selalunya ketika kami keluar membeli barang dan akan bermalam apabila ada temujanji doktor atau membawa anjing berjumpa doktor haiwan selain ada perkara perlu dilakukan pada hari berikutnya,” katanya.

TIADA LAMPU JALAN

Jelasnya dia juga bimbang memandu pada waktu malam terutamanya ketika ribut salji kerana jarak penglihatan yang terhad selain tiada lampu jalan.

“Apa yang anda akan temui ketika waktu malam adalah ribut salji dan saya perlu memandu 50kmj agak perlahan di lebuh raya walaupun had kelajuan 90kmj. 

“Perkara yang paling saya cuba elak apabila kereta yang datang dari arah bertentangan akan memercikkan salji dan anda tidak dapat lihat apa-apa di depan,” jelasnya.

Dia yang berasal dari pantai timur, Nova Scotia, Kanada itu berkongsi mengalami pertama  apabila pihak berkuasa mengeluarkan perintah larangan keluar rumah tanpa urusan penting kerana cuaca mencapai -55C. 

Untuk makluman, Beaver Creek terletak berhampiran sempadan antara Kanada dan Amerika Syarikat. Susulan pandemik sempadan ditutup bagi mengekang penularan Covid-19.

Sebenarnya penduduk di Beaver Creek ada pilihan lebih dekat untuk membeli barangan keperluan misalnya menuju ke Tok, Alaska, Amerika Syarikat yang mengambil masa perjalanan dua jam.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here