Seorang lelaki Nigeria menjadi sensasi internet apabila mengubah Toyota Venza miliknya menjadi kenderaan lebih mewah iaitu Rolls Royce Sweptail.
Nonso Offor yang berasal dari Oraifite, daerah Anambra itu menarik perhatian warganet apabila perkongsian foto berkenaan mendapat 662 perkongsian di Facebook Darlington Chidera Ibekwa.
Bahkan lebih mengejutkan keseluruhan modifikasi itu dilakukan sendiri oleh Offor. Bagaimanapun hantaran tersebut tidak berkongsi spesifikasi mahupun proses transformasi.
Berdasarkan perkongsian gambar berkenaan Offor memilih padanan warna merah pada luaran. Perincian yang dilakukan tidaklah begitu kemas dan anda masih boleh mengesan ia adalah versi copy ori.
Sebagai perbandingan produk asli menggunakan gril krom manakala Offor memilih palang gril berwarna merah dan dimensi depan tidaklah selebar Sweptail. Selain itu, Offor juga tidak menggunakan bumbung kaca panorama seperti mana model mewah itu.
Menariknya Offor mengubah bukaan pintu gaya suicide doors yang menjadi signatur jenama British itu. Tetapi tidak diketahui sama ada operasi buka dan tutup berkenaan dilakukan secara manual atau automatik seperti mana Rolls Royce.
Bahagian kabin juga diubah dengan pilihan warna putih dan bentangan dua kerusi buat penumpang belakang. Sweptail diperkenalkan pada 2017 dan menjadi kereta paling mahal di dunia pada harga AS13 juta (RM54 juta) dan tidak dijual.
Rolls Royce mengambil masa empat tahun untuk membangunkan model berkenaan. Sementara Offor mungkin beberapa bulan saja untuk mendapatkan hasil Sweptail pada Toyota Venza miliknya.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar