Sikap segelintir individu mementingkan diri sendiri dengan meletakkan kenderaan di depan rumah orang lain hingga mencetuskan kesusahan kerap berlaku, terutama di kawasan kejiranan.
Tindakan tersebut bukan saja menjejaskan keharmonian sesama jiran tetangga, tetapi juga boleh bertukar jadi pergaduhan jika si tuan kereta bersikap berkeras kepala atau kerap mengulangi perbuatan sama.
Selain memberi teguran kepada ‘ketidaksedaran’ jiran, kita juga boleh mengajar mereka dengan cara yang lebih berkelas iaitu cara undang-undang. Mari ikuti perkongsian oleh seorang Peguam Hartanah, Syazwan Mohd Jafri.
1. HAK DI BAWAH AKTA PENGANGKUTAN JALAN 1987 (APJ 1987)
Seksyen 48(1) APJ 1987 menyebut – adalah menjadi kesalahan bagi pemandu yang meletakkan kenderaan mereka dengan cara yang menyusahkan/menghalang pengguna lain.
Jika didapati bersalah, boleh didenda minimum RM1,000.00 dan maksima RM5,000.00 ATAU penjara tidak kurang 1 tahun ATAU kedua-duanya.
2. HAK DI BAWAH AKTA KESALAHAN KECIL 1955 (AKK 1955)
Selain APJ 1987, AKK 1955 juga ada menyebut tentang kesalahan letak kereta depan rumah orang. Seksyen 22 AKK 1955 menyebut – barangsiapa yang melanggar masuk perkarangan rumah dengan sengaja tanpa alasan munasabah, boleh didenda sehingga RM50.
3. JALAN TERAKHIR JIKA JIRAN MASIH TERUSKAN SALAH LAKU PARKING BLOCK PAGAR RUMAH
Ramai tidak tahu, sebenarnya di bawah Seksyen 48(2) APJ 1987 – pihak berkuasa seperti pegawai polis/pegawai JPJ/pegawai majlis perbandaran, dibenarkan untuk CLAMP dan TOWING kereta yang menghalang/menyusahkan orang lain.
Oleh itu, semasa membuat aduan, pastikan anda maklumkan akta ini. Bila tahu kereta nak kena tow, pasti jiran tidak akan ulang kesalahan sama.
Perkongsian kali ni pula bukan untuk menggalakan pergaduhan sesama jiran, namun lebih kepada memberikan “awareness” tentang isu ini supaya semua pihak sama-sama elak dari lakukan kesalahan ini.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar