Susulan tular ambulans yang diberhentikan anggota polis bagi memberi laluan kepada konvoi VIP, pihak polis meminta orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat tidak benar.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata tindakan polis menahan ambulans tersebut ketika di susur Jalan Danga Bay ke Jalan Johor Bahru adalah bertujuan mengelakkan risiko besar kemalangan.
Sekiranya anggota trafik memberi laluan hijau kepada ambulans, dikhuatiri akan berlaku pertembungan antara ambulans dan kenderaan konvoi di laluan turun bukit dan 100 meter di depan lebih awal antara jalan utama dan jalan keluar dari susur Jalan Danga Bay.
Beliau berkata Polis Daerah Johor Bahru Utara telah terkesan dengan video berdurasi 46 saat yang memaparkan kejadian berkenaan, melibatkan dua anggota sedang bertugas membuat ‘cut off‘ atau ‘point duty‘ seperti yang tular di media sosial.
Susulan itu, Rupiah berkata satu laporan polis telah dibuat dan kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengeluarkan komen dan maklumat tidak benar, serta tidak bertanggungjawab melalui kaedah tular di media sosial bagi mengelakkan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar