HLYM rasmi lancar LC 135 Fi (2022), harga RM7k

9241

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) rasmi memperkenalkan kapcai Yamaha LC 135 Fi (2022) ke pasaran tempatan. 

Model yang cukup ikonik dalam kalangan pengguna Malaysia itu ditawarkan dengan empat pilihan warna iaitu Ruby Red, Crystal Cyan dan Midnight Star serta Desert Storm Special Edition. 

Generasi baharu LC 135 kini ditawarkan dengan enjin penyejukkan cecair 4-lejang SOHC silinder tunggal yang menghasilkan kuasa 12.5hp @ 8,000rpm dan tork 12.2Nm @ 6,000rpm. 



Kini moped itu menggunakan sistem suntikan bahan api yang mengantikan karburator untuk model sebelum ini dan dipadankan dengan kotak gear 4-kelajuan. Ya masih menggunakan kotak gear yang sama seperti generasi terdahulu.

Sementara itu, keselesaan tunggangan diserahkan kepada suspensi teleskopik di depan dan lengan ayun di belakang bersama sistem brek cakera tunggal hidraulik pada kedua-dua tayar. 

Antara ciri baharu yang didatangkan pada Yamaha LC 135 Fi adalah paparan meter digital baharu, rekaan lampu depan dan belakang baharu bersama pencahayaan LED serta reka bentuk aerodinamik yang dipertingkatkan. 

Sekali imbas, lampu depan menggunakan inspirasi daripada model Y15ZR, manakala rekaan Y16ZR untuk lampu belakang.

Sementara, reka bentuk baharu tersebut dikatakan mengurangkan geseran dan tekanan angin di bahagian lutut untuk tunggangan lancar.

Selain itu, HLYM menawarkan bakul depan premium 2 dalam 1 yang direka khas untuk penyimpanan tambahan bagi pilihan warna Desert Storm Special Edition. Ia turut dilengkapi dengan pengecas USB bersama penutup. 

Harga jualan Yamaha LC 135 Fi adalah RM7,798 sementara pilihan warna Desert Storm Special Edition pula berharga RM8,198.

GALERI
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here