Selepas diperkenalkan hampir hampir lima tahun lalu, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) melancarkan Tiguan Allspace versi naik taraf dengan dua varian menerusi Elegance dan R-Line 4MOTION.
Jentera SUV yang dipasang secara tempatan (CKD) di Pekan, Pahang itu menerima pembaharuan dari segi reka bentuk, selain teknologi terkini lebih baik berbanding sebelum ini.
SUV tujuh tempat duduk itu sememangnya menawarkan ruang sangat luas yang mendahului kelasnya dengan 1,775 liter, selain pelbagai konfigurasi tempat duduk yang versatil.
Ia masih mengekalkan bentuk yang sama, cuma ada beberapa pembaharuan yang dilakukan pada kedua-dua varian itu. Kedua-dua varian itu menerima grill direka semula, bampar hadapan dan lampu utama lebih kemas.
Ini perbaharuan pada Tiguan Allspace yang anda perlu tahu:
Lampu LED
Lampu utama dan belakang ialah LED sepenuhnya dengan lampu tinggi pula memberikan kecerahan dua kali ganda pada waktu malam atau di kawasan gelap. Lampu belakang juga hadir dengan indikator dinamik.
Untuk keselamatan tambahan, lampu utama itu turut dilengkapi sistem lampu semua cuaca dan lampu membelok dinamik bagi menambah baik kualiti pandangan.
Dalaman
Tempat duduk dibalut dengan kulit Vienna bersama tambahan ciri Active Climate untuk pemandu dan penumpang hadapan. Tempat duduk hadapan juga boleh dilaras secara elektrik dengan 12 larasan.
Penukar gear yang direka baru yang mana posisi gear kini ditunjukkan pada paparan muka bersama iluminasi untuk memaparkan kedudukan gear semasa.
Ketersambungan
Digital Cockpit bersaiz 11.7 inci baharu dan ditambah baik itu menawarkan skrin yang lebih jelas.
Sistem infohibur pada kedua-dua model adalah sama, kecuali varian R-Line 4MOTION yang mempunyai paparan Off-road.
Lampu ambien dengan 30 warna yang dinyalakan menerusi jalur lampu pada bahagian pintu.
Keselesaan dan Kemudahan
Sistem pendingin hawa Climatronic 3-zon dengan pelbagai mode dan fungsi Air Care memastikan perjalanan yang selesa buat semua penumpang.
Ciri Easy Open dan Easy Close untuk memberi kemudahan membuka but tanpa menggunakan tangan dan ditutup dengan lebih perlahan.
Keselamatan
- Enam beg udara (tujuh untuk varian R-Line 4MOTION)
- Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC)
- Sistem Brek Anti-Kunci (ABS)
- Brek Bantuan (BA)
- Brek multi pelanggaran
- Sistem Maklum Balas Pelanggaran Pintar (ICRS)
- Brek Parkir Elektronik (EPB).
- Lane Assist dan sistem Driver Alert
- Kawalan Menuruni Bukit hanya R-Line 4MOTION.
Warna
- Biru (Atlantic Blue)
- Putih (Oryx White)
- Hitam (Deep Black)
- Kelabu (Platinum Grey)
- Perak (Pyrite Silver).
Bagi mengetahui perbezaan antara varian Elegance dan R-Line 4Motion, ini ciri-ciri yang ada pada kedua-dua model itu:
Tiguan Allspace Elegance
Elegance tampil menyerlah dengan banyak kemasan krom pada bahagian luarannya, trim sisi khas ‘Allspace’ dan perumah cermin sisi berwarna perak. Ia juga dipasang dengan rim aloi Frankfurt bersaiz 18 inci.
Ia enggabungkan enjin turbo 1.4TSI dengan kotak gear DSG 6-kelajuan yang mampu menjana kuasa 150PS dan tork 250Nm. Penggunaan bahan api adalah sekitar 7.7l/100km.
Tiguan Allspace Elegance baharu ditawarkan pada harga RM174,475 dengan pengecualian cukai jualan sekarang.
Tiguan Allspace R-Line 4Motion
Gayaan varian R-Line styling boleh dilihat pada bampar hadapan dan belakang, spoiler bumbung serta kemasan sisi. Penggunaan rim Valencia bersaiz 19 inci membuatkan penampilannya lebih garang.
Ruang dalaman R-Line 4MOTION dibezakan dengan gayaan R-Line bersama kemasan berwarna kelabu (Carbon Grey).
Dikuasakan enjin turbo 2.0TSI dengan kotak gear DSG 7-kelajuan. Ia mampu menjana kuasa sehingga 220PS dan tork 350Nm. Kuasa itu disalurkan ke semua roda melalui sistem 4MOTION untuk kawalan dan cengkaman lebih baik. Penggunaan bahan api adalah sekitar 8.6l/100km.
Pilihan mode dengan Dynamic Chassis Control (DCC) membolehkan pemanduan dipersonalisasikan. Sebagai sebahagian daripada sistem 4MOTION, terdapat empat mode tambahan iaitu:
- On-road
- Off-road
- Off-road Expert
- Snow
R-Line 4MOTION ditawarkan pada harga RM219,443 tidak termasuk cukai jualan.