Baru guna dua bulan, pemilik Ativa sedih waranti terbatal

63790

Kelebihan membeli kenderaan baharu adalah dilengkapi dengan waranti pengeluar selama 5-tahun atau 100,000km (mana tiba dahulu).

Tetapi selama lima tahun ada beberapa perkara perlu anda ‘jaga’ agar jaminan tidak terbatal misalnya melakukan modifikasi mekanikal. 



Namun, lain pula bagi seorang pengguna Perodua Ativa ini yang berkongsi rasa sedih di Grup Facebook Ativa Club Malaysia. Hafiz YM Mohd berkongsi waranti  SUV yang baru dibeli dua bulan lalu sudah tidak boleh digunakan. 

“Kereta kena banjir, secara automatik dah tiada waranti dari Perodua, terimalah seadanya,” katanya.

Berdasarkan jawapan di ruangan komen, Hafiz menjelaskan pihak Perodua memberitahu kereta yang ditenggelami banjir akan hilang waranti walaupun penyelenggaraan dilakukan di pusat servis yang sah.

“Cuma alat ganti yang kena tukar sahaja diberi waranti enam bulan,” katanya menambah sebut harga kos servis yang diterima sebanyak RM15,000. 

Difahamkan pemilik tidak mengambil insurans perils iaitu bencana alam. Justeru itu, kenderaan berkenaan tidak mendapat perlindungan akibat kerosakan disebabkan banjir.

Justeru itu, pemilik hanya layak mendapat waranti alat ganti selama enam bulan dan bukannya waranti dari pihak pengilang.

Sudah tiba masanya pemilik kenderaan mempertimbangkan insurans bencana alam mengambil kira keadaan hujan yang tidak menentu dan kes banjir di kawasan luar jangkaan.
 
Sekurangnya insurans dapat mengurangkan kos kerugian akibat kejadian tidak dijangka. Bagaimanapun, perkongsian pemilik Ativa itu mendapat simpati ahli grup yang lain dan mendoakan pemilik tabah dan mengambil iktibar daripada kejadian yang berlaku.
 
 
Sebelum ini, Perodua menawarkan rebat perkhidmatan tunda kenderaan, diskaun ke atas alat ganti terpilih (20 peratus) dan pemeriksaan percuma kenderaan Perodua yang terjejas akibat banjir tahun lalu.
 

Selain itu, pihak kerajaan menawarkan subsidi sehingga RM1,000 untuk pembaikan kenderaan yang rosak banjir dan ia boleh digunakan bagi model Proton, Perodua dan lain-lain yang tersenarai. 

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

 

 

 
 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here