Sejak perlumbaan MotoGP Indonesia di Litar Mandalika bermula, ada cerita yang menarik perhatian dunia apabila muncul seorang bomoh wanita di litar melakukan ritual menolak hujan.
Pawang hujan atau lebih dikenali sebagai Raden Rara Istiani Wulandari itu bertugas ‘mengawal cuaca’ pada acara MotoGP Mandalika.
Ketika cuaca buruk melambatkan permulaan MotoGP Indonesia, pihak penganjur memanggil Rara bagi memberhentikan hujan di litar Mandalika. Difahamkan bahawa hujan renyai mula turun pada penghujung perlumbaan Moto2 dan semakin lebat menjelang permulaan GP Indonesia.
Namun, pengarah perlumbaan memutuskan untuk menangguhkan dan tidak dapat meneruskan perlumbaan pada masa yang ditetapkan.
Menurut laporan Kompas, difahamkan bahawa Rara dibayar dengan harga yang tinggi oleh pihak penganjur.
Dia yang ditemubual di sekitar kawasan Litar Antarabangsa Mandalika tidak teragak-agak untuk berkongsi bayaran yang diperoleh sepanjang acara MotoGP iaitu sebanyak Rp5 juta (RM1,500) sehari.
Rara yang sudah bekerja selama 21 hari untuk acara perlumbaan motosikal dunia memperoleh sebanyak Rp105 juta (RM30,000). Dia berkata bayaran itu setimpal kerana dia diminta untuk bekerja tidak kira siang mahupun malam.
“Kemampuan saya adalah kehendak Tuhan Yang Maha Esa,” jelasnya menambah kebolehan mengawal hujan hasil ilmu yang dituntut sejak dahulu.
“Sejak zaman dahulu lagi, Indonesia terkenal dengan banyak kuasa ghaib termasuk mengawal hujan,” katanya.
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar