Naza Italia, pengimport dan pengedar rasmi Ferrari di Malaysia melancarkan model baharu menerusi Ferrari 296 GTB.
Model dengan dua tempat duduk berserta enjin mid-rear itu adalah era baharu untuk Ferrari dari segi teknologi elektrik dan menjadikan jentera pertama pacuan roda belakang yang digabungkan enjin V6 hibrid.
Nama jentera itu diambil daripada gabungan kapasiti enjinnya iaitu 2,992 dan jumlah silinder, dengan tambahan GTB yang bermaksud (Gran Turismo Berlinetta).
Ferrrai 296 GTB adalah model versi plug-in hybrid (PHEV) dengan kebolehan memandu secara elektrik penuh sejauh 25km.
Ia juga adalah model pertama kenderan jalanan Ferrari dengan enjin V6 turbo yang digabungkan motor elektrik plug-in.
Hasil gabungan enjin dan motor elektrik itu, jentera berkenaan mampu menghasilkan 818hp pada 8,000rpm dengan tork setinggi 740Nm pada 6,250rpm.
Kuasa itu disalurkan ke transmisi lapan kelajuan DCT, unit dwi-klac yang sama digunakan pada SF90 Stradale/Spider, Roma dan Portofino M.
0-100kmj dalam 2.9 saat
Ia mampu memecut 0-100kmj boleh dicapai dalam 2.9 saat menyamai F8 Tributo, dan 200kmj lebih pantas dari model V8 itu iaitu hanya dalam 7.3 saat. Kelajuan maksimum pula ialah 330km/j.
Rekaan luaran Ferrari 296 GTB ini merupakan satu gandingan yang sempurna antara kesederhanaan dan fungsi, sama seperti jentera 250 LM.
Ia menampilkan spoiler belakang aktif yang mengingatkan kita kepada model LaFerrari, sementara rekaan cermin windscreen hadapan pula menyerupai model-model edisi terhad seperti J50.
Ruang kokpitnya pula dibangunkan konsep baharu dengan pengayaan digital yang mula diperkenalkan pada model Ferrari SF90 Stradale. Panel instrumen pula berwarna hitam untuk tampak minumum.
Kemasan ruang kabin pula banyak dipinjamkan daripada model SF90 Stradale yang terdiri daripada skrin digital utama di belakang stereng, serta skrin paparan kecil untuk kegunaan penumpang sebelah.
Pakej Assetto Fiorano
Ia juga ditawarkan dengan pakej Assetto Fiorano yang menggunakan bahan ringan seperti gentian karbon dan tingkap belakang Lexan, rim gentian karbon yang dibaluti tayar Michelin Sport Cup R2 serta layangan liveri khas yang memberikan penghormatan kepada jentera lumba 250 Le Mans.
Bagi memiliki jentera V6 ini, harga asasnya bermula RM1.228 juta sebelum cukai duti, cukai dan Insurans. Jika memilih opsyen Assetto Fiorano, anda perlu menambah harganya.
Selain itu, Naza Italia menawarkan tujuh tahun tempoh waranti bagi Ferrrai 296 GTB. Untuk makluman, servis penyelenggaraan bagi model itu adalah 20,000km atau dalam tempoh setahun.
GALERI
Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar